Tuesday, January 26, 2010

Sekolah Berprestasi Tinggi

20 SBT diumum
Oleh HELMI MOHD. FOAD dan HASHNAN ABDULLAH

PUTRAJAYA 25 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan senarai 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dalam usaha kerajaan mengangkat kualiti sekolah terbaik di seluruh negara ke taraf dunia.

Sekolah terbabit terdiri daripada 10 sekolah berasrama penuh, empat sekolah harian biasa dan enam sekolah kebangsaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemilihan SBT dibuat berdasarkan prestasi cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan kebitaraan, sekali gus melayakkan sekolah berkenaan menikmati kuasa autonomi tambahan.

Muhyiddin berkata, kerajaan menyasarkan 30 sekolah lagi akan dipilih sebagai SBT pada tahun depan manakala 50 lagi pada 2012 menjadikan keseluruhannya 100 sekolah.
Katanya, langkah itu bagi mewujudkan inovasi pentadbiran sekolah dan meningkatkan keberhasilan murid.

“Kuasa autonomi tambahan itu melibatkan kurikulum fleksibel dan pemilikan bajet, antara lainnya membenarkan para pelajar cemerlang menamatkan persekolahan setahun lebih awal melalui kaedah lompat kelas.

“SBT juga diberi kelonggaran dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus bagi mata pelajaran wajib dan elektif,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

…………..

Begitulah skrip kehidupan manusia yang sentiasa berada di kayangan.

Terlalu manis dan selesa dipujuk dengan keindahan dan kesenangan semata-mata.

Pernyataan SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI itu sendiri pun sudah mengguris perasaan hati saya, hati seorang guru kepada anak watan yang kehilangan, kemiskinan dan tersisih.

Igauan SBT yang akan mengangkat kualiti sekolah kita ketahap dunia amat penuh dengan kebobrokan dan inspirasi menyelamatkan pendidikan awam.

Betapa saya tersentuh dengan pendifinisian ini sebagaimana juga dengan pendiskriminasian yang berlaku.

Sekolah dengan infranstruktur lengkap, lokasi strategic dan elit, guru yang berpengalaman dan murid pintar yang terpilih, diulas sebagai menguji dan menobatkan tahap keintelektualan dan kehebatan pendidikan Negara.

Saya tidak herankan kecemerlangan mereka.

Saya juga tidak mengkaguminya.

Tapi saya kagum dengan sekolah kampungan beralaskan mengkuang dengan prasarana daif dan tidak pernah genap cikgunya, apatah lagi mempastikan kualiti pengajaran dan bahan Bantu mengajarnya. Tapi sekolah yang diasaskan dengan komitmen dan pengorbanan membela agama dan anak bangsa inilah yang satu hari nanti akan melahirkan anak watan patriotic yang berjaya, teruji dan berwibawa.

Mungkin Laskar pelangi banyak mempengaruhi saya, dengan kejamnya lurah alam yang menidakkan keintelektualan mereka yang layak untuk mendapatkan apa yang terbaik buatnya.



Juga dalam menyatakan bahawa sekolah kampong ini tidak akan mampu melahirkan insan cemerlang dan bergemerlapan inteleknya. Bahkan sebaliknya, manusia hebat lahir dari keluarbiasaan halangan yang mencabar dirinya, jika ia mampu bangkit dan berjaya, dialah manusia paling mulia untuk menerima kehebatan dan pengiktirafan.

Apa kagum dan ajaibnya kejayaan bagi sekolah yang dibarisi budak-budak pintar sahaja.

Bahkan saya juga lahir dari sebuah sekolah agama yang daif prasarananya, kurang tenaga pendidiknya, tidak terpilih pelajarnya, namun kekuatannya terletak pada guru yang ikhlas dan keberkatan rabbani yang sentiasa memayungi anak-anak ini untuk terus melakar cemerlang.

Bukankah lebih baik dihantar peruntukan besar untuk memandu masyarakat pedalaman untuk keluar dari kepompong kejahilan, bukannya sebagai alternative bajet belanja bagi para pengetua yang juga terpilih dan mengejar pengiktirafan.

Mungkin kerana itu, allah masih memilih saya disekolah yang bukan terpilih.

Bahkan motto sekolah ini ialah MENYENTUH HATI DAN MENGUBAH KEHIDUPAN TANPA MEMILIH SESIAPA, MAHUPUN YANG TERCOROT, TERMISKIN ATAU YANG TERSISIH.

1 comment:

  1. saya dapat lihat perspektif yg baru melalui entry ini.tq ust.he

    ReplyDelete