Friday, November 6, 2009

Balkis ... Seindah namamu Seharum baktimu.

Balkis adalah sebuah persatuan pelajar Islam di SMK Perempuan Likas, ia merupakan singkatan bagi nama Badan Latihan dan Kepimpinan Islam yang bertujuan melahirkan kader kepimpinan pelapis yang berwibawa dan berketrampilan khususnya dalam mengetengahkan cara berfikir mengikut kacamata dan keutamaan Islam dalam mengurus kehidupan mereka.

Sempena nama seorang tokoh srikandi Islam zaman lampau yang di ikon kan namanya oleh Allah sebagai tokoh kepimpinan wanita yang begitu bijak, berkuasa dan penuh toleransi. Pertembungannya dengan kepimpinan Islam pada waktu itu yang dipelopori oleh tunjang kerajaan terhebat dalam Islam yang tidak pernah dikecapi sesiapapun iaitu Nabi Allah Sulaiman a.s , menjadikannya lebih mulus dan mulia dengan hidayah Islam.

Lihatlah dan hayatilah kisahnya dalam rangkuman cerita anbiya’yang diluncurkan Allah penuh hikmah dan tarikan lewat cerita yang dikisahkan melalui surah an Naml. Cerita semut, lalat, burung, unta dan sebagainya dalam kategori makhluk allah yang tidak berakal disisipkan Allah lebih awal untuk kita menghadam ibrahnya yang tersendiri, bergurulah dengan siapa pun kalau ianya memang memberikan manfaat kepada kita walaupun ianya bersumberkan ilmu dari binatang, dari kejadian alam, dari bencana yang menimpa, dari orang yang bukan islam mahupun dari musuh allah yang paling nyata iaitu syaitan..kita dituntut mengambil iktibar dan hikmatnya.

Balkis, seharum nama watak agung dalam lipatan sejarah Islam disusun penuh madah dan berbunga harapan agar ianya mampu melahirkan watak heroin Islam yang satu hari nanti bukan sahaja mampu mendodoikan anak dengan didikan agama bahkan menakluki dunia dengan maruah dan izzah perjuangan Islam.

Teringat seketika …… tika Balkis ini masih lagi bayi bertatih untuk belajar berdiri, dengan gigi yang belum tubuh dan tubuh yang belum pejal…. Balkis tika itu belum punya nama dan kekuatan untuk membina wadah organisasi pelajar yang mantap dan terhormat, hingga ia pernah disalah erti kan sebagai gerakan subversif serba gelap dan bawah tanah.

Tika pedih dan ngilu menyambut azam membina karektor ummah ini silih berganti dengan senyum bahagia melihat anak muda putri2 ini mula berjinak dan mengadaptasikan hidup berlandaskan syariat, terbayang semangat putri2 kecil dalam berprogram dan membina fikrah mereka…

Lalu saya lontarkan mereka hadiah harapan dan cabaran ini …..

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah s.w.t serta selawat terpuji ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w kerana dengan izin dan inayahnya kita dapat mengadakan sidang Mesyuarat Agung Badan Latihan dan Kepimpinan Islam (BALKIS) sebuah persatuan pelajar Islam di SMK Perempuan Likas ini buat kali pertama.

Putaran roda masa akan sentiasa berpusing pantas mengembalikan ingatan dan nostalgia kita kepada banyak perkara yang telah menjadi sejarah. Namun…sejarah pasti akan berulang, mengulangi detik peristiwa dan waktunya ,cuma mungkin karektor dan kronologi yang mendominasinya sahaja yang mungkin akan berubah.

Kehadiran anda semua ke Mesyuarat Agung ini adalah merupakan tanda aras kesedaran dan komitmen konkrit kita dalam mendokong usaha murni dan tersusun kearah melahirkan kepimpinan pelajar yang berkredibiliti dan berketrampilan. Strategi dan gerak kerja bersistem yang cuba diterapkan ini diharap lebih berkesana dalam menjana kesedaran dan kefahaman islam dikalangan pelajar . Hayatilah kata-kata Saidina Ali R.a berikut : Kebenaran Islam yang tidak tersusun dan terancang akan dikalahkan oleh kebatilan yang berperancangan dan berstrategik. Oleh itu,kekuatan imanlah yang akan menjadi penentu dalam meneruskan mata rantai perjuangan.

Hakikatnya, wadah inilah yang terbaik buat kita mencari keredhaan ilahi, Inilah sekelumit usaha dalam melahirkan masyarakat pelajar yang lebih baik sahsiah dan cernaan mindanya, moga amalan murni ini dapat menjana modal insan terbaik di SMKP Likas dan menjadi bekalan suci kita dihari akhirat nanti.

Marilah kita bersama wadah gerakan pelajar ini dalam membina kegemilangan idealismenya, utuh dalam komitmen mencerna akhlak ahlinya dan bergerak selaras dengan pembudayaan beragama dalam hidup ini – barulah kita akan tahu bahawa sejarah pasti akan berulang. Manusia agung lahir dari pengetahuan dan penghayatan. Insyaallah usaha yang gigih ini dapat digerakkan dengan lebih teratur dan strategik melalui medan mesyuarat ini. Sesungguhnya sidang mesyuarat agung adalah medan bermuhasabah terbaik antara ahli dan pemegang jawatan bagi melonjakkan gerak kerja persatuan yang lebih berkesan.

Akhirnya saya mewakili semua AJK BALKIS Sesi 2007-2008 mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan sidang Mesyuarat Agung BALKIS kali ke-1 ini. Wassalam.

Moga Balkis mampu melangkah lebih gagah kehadapan dengan santun budi dan sopan akal fikrahnya.




Bagai Bulan dipagari bintang2, kerja dakwah bukan sekadar rindukan bulan dan bukan juga menunggu bulan jatuh ke riba. Tetapi bagaimana membentuk minda secerlang bulan yang menyinari alam buana. Luasnya pengertian makhluk tuhan bernama BULAN.

Amiin .... doaku untuk kalian, Balkis.

No comments:

Post a Comment