Friday, November 27, 2009

Memugar rahmat di selubung korban

Ceria hening pagi

Pagi bermula ceria dengan laungan takbir tingkah meningkah antara masjid dan surau berdekatan rumah kami di Kg. Bayam Guchil, Kota Bharu.

Suasana hening subuh menyentap jasad untuk segera bangun dan bergegas ke rumah allah yang terletak lebih 500 meter ke dalam kampung. Berada dalam saf keempat dengan diimamkan oleh imam tua Masjid al Husna, Tuk Imam Yaakub menggamit nostalgia ke zaman remaja saya.

Dengan suara kerasnya yang tidak berubah beliau membacakan surah sajdah dan diikuti surah al insan dipagi jumaat raya ini. Kami membuntutinya dari belakang dengan penuh taat dan khusyuk.

Pagi bening itu, seramai 200 pengunjung setia membanjiri rumah allah dalam pelbagai jalur umur, tidak hanya bersama golongan veteran yang sudah pencen dan setia ke masjid menghabiskan usia tua, masih ramai anak-anak muda yang terdidik mengangkat takbir di subuh ceria ini.



Alhamdulillah... damainya rasa ini, suasana yang saya tercari-cari dibumi bertuah sabah dulunya. Suasana yang sama saya dapati hanya di Masjid Negeri tika mencari malam lailatul qadar dahulu. Namun harapan masih berbunga, moga bumi bertuah ini akan terus dibajai rahmat tuhan hingga ke akhirnya..

Sesudah subuh kami dihidang dengan tazkirah ringkas versi lama yang amat saya rindui, versi Ust Kob yang kaya dengan pengalaman dan peringatan hidupnya. Tazkirahnya ringkas, santai tapi penuh makna meresap bersama contoh hidup pengalaman masyarakat kampung di bawah jagaannya.

Khutbah PERTAMA

Jam 8 pagi, saya pula diamanahkan menggantikan adik saya untuk menjadi imam dan seterusnya berkhutbah di Surau Kecil berhampiran rumah kami dan SRK Sultan Ismail Empat yang memuatkan hampir 60 jamaah. Adik merupakan seorang Hafiz Quran dan masih menuntut di pondok Kandis, Bachok yang biasanya menjadi imam dan khatib disana. Namun, kali ini demam dan selsemanya membataskan pergerakannya.

Dengan niat untuk mempermudahkan dan menyempurnakan amanah, saya terima dan berkhutbah buat kali PERTAMA dibumi tanah tumpah darah saya sendiri.

Berbekalkan teks majlis agama islam negeri kelantan saya gunakan sebagai panduan saya untuk terus melakar khutbah dan peringatan buat semua. Moga kami beroleh kerahmatan dari Allah yang maha kuasa.

Bersalaman dengan jamaah kejiranan yang hadir, meniupkan rasa syukur dan redha atas segala nikmat dan kurniaannya. Allah maha berkuasa memberi nikmat dan rahmatnya.

Ibrah kuasa Allah

Sempat saya sentuh tentang kuasa Allah mampu menjadikan manusia bijak yang bercita tinggi untuk menjadi peguam ternama akhirnya ditakdirkan pengsan dan seterusnya koma dihospital buat seketika. Bangun dari pitamnya menyaksikan dia menjadi manusia yang berubah sepenuhnya, darah yang terhenti sekejap mengalir diotaknya , juga fokus yang keterlaluan menyebabkan SATU saraf diotaknya meletup menjadikannya cukup istimewa, ya istimewa kerana dia bukan lagi siswa universiti yang mengejar wawasan dan cuba menempatkan palbagai maklumat kedalam mindanya, sarafnya yang hilang menjadikannya manusia yang tidak berupaya mengingat, walaupaun dalam masa 5 minit yang berselang. Akhirnya beliau terpaksa menggunakan tape recoder untuk memaklumkan kepada dirinya tentang aktiviti yang telah dilaluinya saban hari seperti makan,minum,mandi dan sebagainya.

Saya hanya mampu mengulang kepada semua, baru SATU saraf yang rosak dengan kuasa Allah, bagaimanakah kalau allah hancurkan saraf – saraf manusia yang engkar kepada allah satu persatu.

Maha suci allah dan maha berkuasa.

Raya pertama

Seterusnya langkah kami memanjang ke Kg Gong Serai yang menempatkan rumah lama datuk saya, Tuan Guru Yaakub Panggung, pengasas kepada pondok dipanggung ini yang juga merupakan anak murid kepada ulamak tersohor nusantara, Tuk Kenali.

Ditepi sebuah surau yang disemadikan nama bapa saudara saya , Tuan Guru Hj Atiqullah kami melaksanakan tuntutan Korban tahun ini dengan menyembelih dua ekor lembu.



Memori silam bersama allayarham terasa segar dalam ingatan dengan kehadiran orang-orang kampung dan penghuni berdekatan untuk sama-sama menyempurnakan lapah dan potong lembu korban tersebut.

Alhamdulillah... Aidil adha menggamit persaudaraan dan silaturrahim, sebagaimana ia menyemai nilai pengorbanan dan rasa kehambaan mencari kasih yang maha kuasa.

No comments:

Post a Comment