Saturday, November 28, 2009

Islah diri di Pondok Baitul Taubah



Travel raya

Perjalanan raya kali ini membawa saya untuk menjadi pilot kepada abah saya HJ Ubaidah Yaakub ke kampung halaman beliau di Gong Serai, Pasir Puteh.

Jarak 40km dari bandar kota bharu menjadikan perjalanan kami tidak mengambil masa yang lama, sekitar 9.45 pagi kami tiba di sana bertepatan dengan masa kaum keluarga kami berkumpul dengan pisau terhunus bersedia untuk acara korban.

Namun saya lebih terpanggil untuk berkongsi cerita tentang pondok Baitul Taubah yang dikendalikan oleh abah saya sebagai pengarah operasinya sejak 2008 dan sudah berjaya memulihkan hampir 200 anak bina.



Terminal Taubat dan Islah

Pondok ini merupakan satu projek Kerajaan Negeri untuk memulihkan para remaja hinggalah kepada orang dewasa yang terlibat dan terbelunggu dengan najis dadah.

Dengan peruntukan dari Kerajaan Negeri berjumlah 50ribu setahun, ianya belum mampu untuk menjana dan menstabilkan perjalanan usaha dakwah dan tarbiah kepada para penagih yang pernah tersesat sebelum ini.

Makluman peribadi dari pengarah operasinya ini menyatakan kos operasi bulanannya sahaja sudah mencecah 10 ribu sebulan dengan kos makanan, perubatan, tarbiyah, pengangkutan, gaji pembina, pengurusan dan sebagainya.

Rawatan Alternatif Islam

Mengamalkan proses rawatan pemulihan berasaakan Islam, pondok Baitul taubah ini telah berjaya memulihkan ramai para penagih yang sebelum ini tegar dan liat dengan najis ini.

Mereka disini tidak dikenali sebagai penagih tetapi akan dipanggil anak bina, dan mereka akan mengikuti setiap program yang dianjurkan pengurusan pondok. Kemasukan mereka adalah secara sukarela samada dari kemahuan sendiri atau ibubapa, mereka akan diprogramkan selama 4 bulan dengan kos bulanan untuk pemakanan mereka ditanggung keluarga sebanyak RM 400 sebulan.



Bahkan ramai antara mereka yang pulih ingin kekal menyambung kursus islah ini sehingga 6 bulan mahupun setahun, ada juga yang sedia berkhidmat sebagai pembina yang menjadi fasilitator dan pemantau program dengan tugas memberi motivasi, mengajar doa dan zikir, mengejutkan anak bina untuk bangun dan mandi di tengah malam dan tugasan rencam yang lain.

Rutin harian mereka ialah solat, zikir dan mandi malam yang saya akan perincikan kemudian nanti.Dengan amalan islam ini dan pengharapan pulih bergantung teguh pada Allah, akhirnya ia menjadi kaedah yang berjaya memulihkan bukan sahaja tabiat bahkan rohani anak bina untuk memulakan hidup baru.

Menagih sumbangan

Sesudah menunaikan solat jumaat di masjid kg. Panggung, saya mengemudi innova ini menuju ke terminal menunggu di dataran pondok ini untuk menyerahkan sebahagian daging korban kami kepada para penghuni pondok.

Esoknya dijangka berguni lagi daging korban dan sedekah jariah orang ramai akan menjengah pondok ini sebagai satu sumbangan untuk mereka dan juga suntikan motivasi serta doa kebersamaan untuk mereka terus gigih berubah dan membina sahsiah masa depan yang lebih terpuji.

Namun, sumbangan untuk memulihkan anak bangsa ini masih terus ditagih dan dicari, moga allah mempermudahkan.

Pautan dan informasi tentang pondok ini boleh didapati di laman web ini .... http://pondokbaitultaubah.blogspot.com

PT 372 JALAN JERAM PASU,
PADANG PAK AMAT,
16800 PASIR PUTEH,
KELANTAN

Tel : 09-748 0086 (pentadbiran) /atau 09-977 6566 (operasi)
email : baitul_taubah@yahoo.com

No comments:

Post a Comment