Sunday, November 8, 2009

Diskusi Buku - Wacana Ilmiah Yang Kekal

Diskusi buku ini mungkin merupakan satu acara yang agak asing di bumi sabah bertuah ini, malahan ianya agak jarang dilaksanakan samada diperingkat sekolah mahupun di pusat pengajian yang lebih tinggi.

Saya antara beberapa individu yang sering menyatakan … segmen diskusi buku ini adalah merupakan siri dakwah dan ilmu yang lebih relevan dan bermakna kepada audiens berbanding siri ceramah , forum mahupun dialog walaupun ianya diberi label ilmiah dan sebagainya. Ini kerana saya melihat ianya bukan sahaja merupakan satu medium penyampaian ilmu dan perbincangan isu, bahkan ia memastikan sumber dan asas ilmu dan isu berada dekat dengan audiens.

Sebaik-baiknya audiens terlebih dahulu memiliki buku yang ingin diulas dan dibaca dan ditanda persoalan yang berbangkit dan tidak difahami, ini sekurang-kurangnya memberikan peluang samarata antara panel dan audies memahami dan mendalami kehendak penulis atau topic itu sendiri.

Untuk itu, pemilihan buku amatlah penting kerana ianya mestilah merupakan buku yang jelas mencakupi setiap sudut tajuk yang ingin kita bicarakan, kupasan isu oleh panel biasanya akan berkisar kepada point utama dan perkara yang lebih pokok dan penting pada perkiraan mata panel diskusi. Adapun perkara asas dan umum, dapat diakses oleh audiens hanya dengan membacanya semula… dan yang saya amat bersetuju tentang diskusi buku ini ialah, segala perbincangan dan diskusi ilmu ini tidak hanya hilang diawangan minda apatah lagi bagi masyarakat kita yang suka berbudayakan mendengar ilmu sahaja, jauh daripada cuba mencatatnya kemudian mencetaknya dalam pemikiran dan jauh sekali dari menghayatinya dalam kehidupan.

Seusai diskusi, audiens akan lebih mudah kembali menyegarkan ingatannya dengan membuka semula buku yang sedia ada ditangan mereka, alangkah baiknya kalau diskusi ini berterusan dan membicarakan pelbagai lajur ilmu, nescaya para audiens kita sudah mempunyai pelbagai buku rujukan asas untuk mereka bagi setiap lapis dan bidang ilmu.

Dan… alhamdulillah di KK ini sejak 8 tahun kehadiran dan pemerhatian saya yang terbatas ini ,fenomena berDiskusi Buku ini baru mula mengengsot perlahan perjalanannya. Lontaran ini jelas disambut lebih dahulu oleh rakan2 di politeknik Kota kinabalu berbanding pusat akademik yang lain seperti ums,uitm,ikm mahupun sekolah biasa. Moga ianya mampu bertatih, berjalan dan berlari laju dalam perlaksanaannya bagi memanfaatkan budaya membaca, berfikir dan berbincang mengikut neraca islam.

Pengamatan saya, Politeknik KK telah menganjurkan 3 kali diskusi buku yang mencakupi variasi tajuk berbeza seperti Ibadah (20 Soalan Lazim tentang Islam – Dr Zakir Naik) akhlak ( Adab Pergaulan dalam Islam – Hamidah Mat ) dan yang terbaru Aqidah ( Syahadah dan Peranannya – Seman Hj Jaafar ). Moga usaha ini akan terus subur dan bermanfaat.

Akhirnya …. Strategi dan pendekatan dakwah adalah amat kompleks dan berbeza. Kebijaksanaan menilai keutamaan, corak pemikiran, latar belakang audiens dan situasi semasa adalah kelebihan utama kepada pendakwah.

Diskusi ini amat sesuai untuk generasi muda berpelajaran berbanding golongan awam yang kesempitan masa untuk menelaah dan mengkaji, mereka lebih suka mendengar dan menganggukkan kepala dan sesekali terlena diulit ngantuk yang datang dari badan yang keletihan.

Ia juga amat baik untuk menjana in-come persatuan dengan penjualan buku selain menanam kecintaan kepada ilmu.

Selamat berdiskusi.

No comments:

Post a Comment