Saturday, November 21, 2009

Lambaian Perpisahan UntukMu Sepanggar

Indahnya Hadiah sebuah Ukhuwwah

Bersama dengan sahabat seperjuangan, diraikan dalam suasana cerlang dalam suluhan ukhuwwah yang terang benderang. Hati saya tersentuh….

Di lokasi yang dijadikan surau alterntif di kawasan university apartment, kawan2 mengaturkan pertemuan majlis perpisahan untuk meraikan saya, menghargai nilai ukhuwwah, mengukuh ikatan organisasi dan meredakan resah dan sedih perpisahan ini.

Dalam aturan program yang dimaklumkan lewat tentatifnya, seawalnya saya datang untuk hanya membisikkan salam perjuangan dan terus istiqamah, seterusnya melafazkan lambaian perpisahan untuk semua rakan dan sahabat seperjuangan, namun bagai mahu terus bermadah, kasih mahu terus disambung, sayang jangan dipisah-pisahkan….dan perpisahan kalau boleh, hanya khabar angin yang kosong.

Kehadiran rakan dan teman seperjuangan yang bukan sedikit meruntun sayu hati saya, tepatkah keputusan pindah ini ???? Saya buntu seketika, melihat sahabat dari poli, adik dari ums dan uitm, rakan sejawat dari BDC dan pelbagai lapis pimpinan setempat yang hadir memberikan semangat….. bukan semangat untuk pindah dan berpisah, tapi semangat kebersamaan untuk terus kekal dan menggengam erat dakwah dibumi lambaian kinabalu ini.

Ukhuwwah Kerana Allah

Apatah lagi, selepas jamuan lazat dan berselera yang disajikan…saya diamanahkan membuat pengisian, sejam tempohnya kata sahabat dan juga ketua saya, Ustaz Anuar Ali dengan tajuk Ukhuwwah Fillah, Pra syarat membina gerakan Islam seolah – olah sebagai satu isyarat bahawa kehadiran dan keberadaan saya masih diperlukan dan dihargai namun mungkin juga sebagai satu denda kerana tidak berjaya memenuhi tuntutan syarat pimpinan untuk berada paling minimum 10 tahun mengemudi cabaran dakwah di bumi bertuah ini. Maafkan saya …. Masih berbaki 365 hari, moga allah permudahkan saya untuk datang sekali sekali melunaskan janji yang masih berbaki.

Mengupas isu ukhuwwah bukanlah mudah, ianya isu yang diangkat allah sebagai tema perjuangan islam, moto yang dirakam untuk ummah ini oleh nabi dalam taktikal hijrahnya, mempersaudarakan antara muhajirin dan ansar adalah satu strategi paling ajaib dan ampuh membina kesatuan agama untuk memimpin percaturan kuasa nanti.

Ia isu yang menuntut penghayatan dan keprihatinan bukannya sekadar berbalas salam, isu yang menghendaki rasa kasih dan saying bukan hanya memandang dari jauh dan mendengar cerita simpati, menghendaki rasa beban dan tanggungjawab dibahu atas musibah rakan bukan sekadar melontar pandangan kosong tanpa jiwa, menghendaki manisnya poket kosong dalam membantu menceria dan mendamaikan hati sahabat, bukan hanya sekadar mudah menginfakkan kata2 simpati di atas pahitnya musibah.

Ukhuwwah merealisasikan tuntutan aqidah

Isu inilah yang di pasak asasnya oleh allah untuk pembinaan kekuatan gerakan. Surah al Hujurat ayat 10. Sesungguhnya mukmin itu bersaudara.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (10)

Isu inilah yang direalisasikan nabi melalui sabdanya : tidak sempurna keimanan kita sehinggalah kita mengasihi dan mengambil berat tentang erti persaudaraan dan suka membantu saudara kita sebagaimana kita suka dibantu.

Dan inilah isu yang di rakamkan sejarah mulia para sahabat nabi melebihkan saudara seislamnya walaupun nyawa sudah tergantung dihalkum.

Ukhuwwah memerlukan pengorbanan, dan zulhijjah didatangkan tuhan dengan program membina pengorbanan, allah menyusun cara tersendiri menanam konkrit pengorbanan ini dengan ibadah haji dan korban. Berkorbanlah kepada allah…. Dengan seikhlasnya bukan dengan nilai hartanya, bukan juga dengan jenis binatang dan bentuk fizikalnya.

Allah melihat keikhlasan, allah menilai pengorban dan allah menjeling kearah ketakwaan.

Dedikasi Bilal Sebuah Ibrah

Justeru, saya rakamkan cerita ini untuk semua… kisah sahabat agung Bilal ibn rabah untuk renungan, dihadirkan allah kedunia dengan berwajah hitam, berambut kerinting dan berbibir tebal menjanjikan masa depan yang tiada sinar kecantikan, ketampanan dan kemuliaan.

Namun allah muliakan bilal, bukan dengan rupa parasnya, bukan juga dengan warna gelap kulitnya,jauh sekali dari empayar kekayaannya, tapi bilal dimuliakan allah dengan keputihan hati, kecantikan iman dan pengorbanan dan juga kekayaan jiwa dan ketaatan.

Kerana itulah ditulis dengan tinta emas sejarah ini, bahaawa bilal manusia berjasa. Manusia yang perlu diangkat islam untuk menjadi ikon perpaduan, ikon bagi bagi menolak rasis perkauman, menghindar taksub kenegerian dan bahkan membantah status feudalisme yang mementingkan kebendaan dari kebenaran.

Ikon Dakwah Yang Hidup

Bilal hadir sebagai ikon Islam, dan ikon harus hidup dan segar dalam ingatan ummah, pantasnya bilal hadir kekal kepada kita sebagai muezzin rasulullah untuk umat ini. Lalu nama bilal menjadi gelaran bagi setiap yang melaungkan azan dinegara kita menggantikan istilah agama iaitu muazzin sebagai tanda evergreennya ikon islam ini.

Suatu hari, seorang sahabat yang merupakan artis kota madinah datang menyusun sembah kepada nabi, setelah dipukuk dn digalakkan para sahabatnya untuk memohon tempat menggantikan bilal sebagai muezzin, permohonan ditolak, namun kuatnya kehendak memaksanya berulangkali berjumpa nabi memohon perkara yang sama sehinggalah nabi mengizinkan slot yang terpinggir disuatu hari untuk cubaan pertamanya … slot inihari, subuh.

Tugas dilaksana sempurna, berduyun hadirin datang, rasul mengimamkan solat dan akhirnya memberi salam, dalam ringkas wirid,nabi didatangi malaikat membawa kehairanan, mempersoalkan solat yang ditunaikan, mempertikai kenapa azan hari ini tidak dikumandangkan… lalu nabi menyatakan tugas azan diambil seorng staf baru yang merdu dan indah suaranya, menarik dan meruntun massa turun ke masjid nabi.

Tiba2 malaikat berkata : “Jika azan dilaungkan pada hari ini… kenapa kami penduduk langit tidak mendengarnya….!!!”

Itulah bilal, tempatnya tiada galang gantinya.

Sucinya Kasih Kekasih Agung

Dipenghujung mikraj, nabi dikhabarkan tempat bilal didalam syurga bersama memimpin baginda memasukinya. Alangkah mulianya makhluk allah yang putih imannya ini.

Wafat rasulullah, menyentap jiwa kasih bilal, serasa tiada cahaya untuk terus bertamu dibumi ini, kuburan rasul sentiasa menggamit nostalgia, sedih hati terus bertandang dihati..

Lalu beliau menemui khalifah, abu baker dan umar untuk diizinkan keluar dari madinah, meneruskan misi dakwah menyebarkan agama, dan seterusnya mengurangkan sedikit pamitan nostalgia bersama nabi yang sentiasa bersamanya. Biarlah dirinya jauh dimata namun genggaman memori silam tetap terpahat dihatinya.

Lama dia berkelana hinggalah suatu hari beliau didatangi mimpi bertemu kelasih lama, rasulullah mengunjunginya dalam tidurnya dengan sabda mulia baginda “dimana kamu wahai bilal, mengapa lama kamu membawa diri, kenapa kamu tidak menziarahi aku.. marahkan kamu kepada aku, atau sudah hilangkah sayangmu pada ku” tersedar bilal dari lamunan tidurnya. Membekas kesan mimpi dihatinya, air mata mermebes turun.

Bergegas beliau menuju madinah, tika dinihari beliau sampai didepan kuburan nabi memberi selawat menyatakan kasih dan melepaskan rindu.

Tibanya fajar sadik, kelibat susuk tubuh bilal dikenali, beliau dimuliakan untuk mengazankan subuh dinihari itu….. syahdu lantunan azannya seakan menggamit nostalgia zaman nabi…. Pilu azannya membelah hening subuh membiaskan suaranya keseluruh pelusuk madinah, memasuki rumah2, menjengah pasar, menjenguk setiap benda pejal yang bertapa dimadinah itu..

Tersentak kota madinah dari lamunan tidur…. Bergegar kota madinah dengan lautan manusia menuju masjid.. fikir mereka, ini suara bilal, suara muezzin rasulullah. Sudah lama kita kehilangannya…

Mengapakah suara ini datang semula? Ajaibnya dengan suasana madinah yang kembali segar dengan suasana zaman kenabian, manusia kembali menyantuni masjid .Adakah ini tanda rasulullah bangkit semula .. bisik hati mereka.

Nostalgia Rindu semalam

Lihatlah saudara sekalian, betapa agungnya jiwa manusia bilal yang bukan merdu dengan suaranya, bukan juga mulia dengan paras rupanya.. tapi berkat keimanan dan ketaatan, manusia mulia ini gah diingati sejarah, agung tidak dimamah zaman.

Benarlah kehadirannya kedunia disedari dan dihargai ramai… perginya juga dirasai dan diingati massa.

Akhirnya saya berkata ; jika bilal diizinkan keluar berdakwah oleh dua sahabat agung Abu Bakar dan Umar, maka usahlah ditahan lagi……. Restu dan izinkanlah pemergian saya yang dhaif ini.

Moga ukhuwwah kita berkekalan, jika tiada jejak kasih kita didunia, janji untuk kita orang beriman berjumpa disyurga allah nanti.

Berjanjilah… berbaktilah……berusahalah … insya allah.

Moga gambar kaku ini mampu menjadi nostalgia sejarah ukhuwwah antara kita.










No comments:

Post a Comment