Thursday, November 12, 2009

Hulagu Khan - Ibrah duka umat semalam



Sinopsis

Hulagu Khan ialah cucu kepada Genghis Khan. Adik beradik dengan Arik Boke, Mongke Khan dan Kublai Khan.

Pada tahun 1255 Hulagu Khan dihantar oleh Mongke Khan (1251-1258) bagi menakluk wilayah yang pernah dikuasai oleh orang Monggol di Timur Tengah.

Selepas berjaya menakluk wilayah Lurs, di Iran dan Hashasim, Hulagu Khan menumpukan usaha menakluk Kota Baghdad.

Setelah berjaya menumbangkan Khalifah al Musta’sim Billah dan menakluk Kota Baghdad, Hulagu Khan menakluk Damsyik (Syria). Kemudian cuba menakluk Mesir.

Mereka berhadapan dengan Tentera Mamalik Mesir di Ain Jalut yang bergabung bersama tentera Islam yang lain.

Penulis : Abdul Latip bin Talib
Penerbit : PTS Litera Sdn Bhd
Harga : RM RM24 / RM RM27 (Sabah & Sarawak)

Asyik

Tak jemu ..... dan mata ini terus menatap bilahan bait kata pengarang hinggalah ke akhirnya. Ayatnya umpama sihir mengikat hati mendatangkan rasa resah untuk terus mendampinginya, rasa rindu dan sayang untuk tidak meninggalkannya. Akhirnya buku itu khatam dalam masa sehari cuma.

Olahannya menuntun rasa memahami pengalaman pahit manis perjuangan, memijar rasa panas sejuk pengorbanan, menyimbah dingin tegar umat ini mempertahankan agama.

Namun para sahabat sekalian, prinsip pembacaan kita harus bermula dengan kesedaran, dan pembacaan ini mesti dilakukan dengan formula mengintai ibrah pengajaran disebalik duka panjang umat ini.

Ibrah sejarah

Dari novel sejarah ini saya angkatkan beberapa ibrah yang saya kutip dari celahan peristiwanya:

1. Umat ini akan tetap mulia dan dijaga oleh Allah, tiada yang akan dapat membasmi lenyap umat Muhammad ini jika mereka kekal berpegang pada tali allah. Kesan darah dan nanah penderitaan umat ini hadir lantaran alpa dan lekanya pada hukum dan pemerintahan Allah. (Khalifah terakhir Mu’tasim Billah ini melunturkan pegangan Islam dan mengutamakan kroni keluarganya menatijahkan kesan luka pada umat yang bukan sedikit calarnya )

2. Akan tetap wujud golongan yang insaf dan sedar dalam memayungi umat dan mengorbankan hidup hanya untuk Allah, merekalah golongan yang dipuji Nabi berkisar tentang umat yang hidup atas landasan kebenaran dan dibantu Allah. ( Bertuahnya insan seperti Ruknuddin Ad Daudar, Saifuddin Qutuz , Baybars dan Berke Khan atas amanah menjaga agamanya ini)

3. Tiada bangsa dan agama yang lebih hebat dari kekuasaan Allah, Mitos bahawa monggol tak akan dapat dikalahkan hanyalah propsaganda dan persepsi untuk melemahkan umat. Kemenangan mereka hanyalah berdasarkan kekuatan tipu daya bukannya keutuhan perjungan dan kemuliaan syahidnya. ( banyak kemenangan monggol dicapai tanpa etika dan tipu daya, bukan sebagai penakluk agung, memang peperangan adalah tipu muslihat tapi melakukan kezaliman dalam penaklukan amatlah terkutuk)

4. Umat ini tidak pernah sunyi dari pengkhianat yang akhirnya akan menyesal dengan bodoh tindakannya. Sesalan yang tidak berguna tatkala umat sudah dipanggang api amarah pengkhianatannya. (Berwaspadalah dalam tindakan kerana akan sentiasa ada gunting dalam lipatan biarlah kisah Umayyuddin Al Qami ini menjadi galang sejarahnya)

5. Persaudaraan islam akan mengatasi perkauman, jika ianya dipatrikan dalam hati manusia akan kekal bersaudara atas asa tauhid tanpa mengira warna, rupa dan sempadan kulit. ( terima kasih kepada Berke Khan saudara seketurunan berdarah monggol ini sanggup berdepan tentera maut Hulagu semata2 mempertahankan Islam dan ummah seaqidah – mungkin benar pepatah yang mengatakan Monggol hanya akan dapat dikalahkan oleh orang monggol sahaja )

6. Hanya kebijaksanaan, keikhlasan dan kesungguhan mengamalkan Islam sahaja yang dapat menyelamatkan umat ini, ulamak yang berjasa menyebarkan islam dan sanggup mengenepikan kepentingan peribadinya akan membuahkan hasil kemenangan yang begitu manis hinggalah kehari ini rasanya. ( Khalid menang di Yarmouk mengusir tentera parsi, manakala medan Hittin menyaksikan Salahudin menempa nama kepahlawanannya menentang tentera salib dan di Ain Jalut nama Sultan Saifuddin Qutuz dipahat sejarah mengaibkan tentera monggol yang kehausan darah, peperangan pertama yang menyaksikan monggol tumpas dan bermulalah rentetan siri kekalahan empayar ini sampai ke penghujungnya)

Setiap manusia punya rasa dan pandangan berbeza namun ambillah ibrahnya. Tamat dibaca pada 11 November 2009.

No comments:

Post a Comment