Friday, November 6, 2009

Ingatkah masih - amarah anak muda.

Masihkah kau ingat….. kegelisahan berjauhan dari keluarga, terbuang nun jauh dari kelompok generasi awal Malaysia di Jordan, berkelana hingga ke perdu gurun mafraq yang kontang ini, apatah lagi dengan kemudahan parasarana serta kecekapan pentadbiran sebuah institusi menara gading yang boleh dipersoalkan kredibilitnya, isu lambakan rujukan dan kononnya dana alil bayt yang besar serta mampu memikat dan seterusnya menjurus kepada syiah dan pengaruhnya takut-takut akan menguasai anak dagang hingusan ini,

Juga bukan sekali, terasa diri umpama anak-anak tikus putih kajian kerajaan untuk mengukuhkan dasar diplomasi luarnya,membentuk kerjasama dua hala walaupun satu generasi kecil mahasiswa menjadi gadaian ujikajinya.

Maka tak hairan amarah dan amukan anak-anak kecil ini seawal kedatangan kita ke bumi bertuah ini rupanya satu lakonan yang pernah mewarnai pentas dewasa kehidupan kita, teringat lagi bagaimana akh Noryusri Mansor disudut kiri belakang surau meminta pendapat dan kolaborasi semua dalam menjayakan tindakan bersama.Satu pandangan yang akhirnya membulatkan tekad dan tujuan tindakan yang sama. Membujur lalu melintang patah..namun takkan umur ilmu kita diperjudikan seenteng ini.

Amarah kecil ini akhirnya terluap dengan tindakan yang kita namakan Memorandum, bersama membantah dan seterusnya mencadangkan destinasi institusi baru pengajian kita yang lebih baik dan berwibawa.

Bukan sedikit kocakan amarah memo ini, terasa sekelumit boycott dan pemulauan awal pada warga jamiah yang lain, malah gelombang besar tiba juga dengan kedatangan rombongan kerajaan diwakili menteri pelajaran tika itu DR Sulaiman Daud untuk menangani amarah anak kecil ini….

Dan selepas beberapa kali merayu dan berunding, dengan pernah juga kita berkonvoi ke hotel the marriot (memori masih utuh untuk ingat kita pernah menunaikan solat di atas jalan berturap beramai-ramai dihadapan pintu masuk hotel dengan beralaskan kot yang masih melekat di badan)kita berdoa, berdebat dan berbahas isu ... dengan cukup panjang, tegang dan hangat.

Sahabat pasti ingat, inilah antara noktah mula perjalanan ilmu kita.. Memorandum bersama, dan korban mangsanya bukan sedikit, ada yang terbawa2 sampai sanggup menggadaikan subjek, ada yang sanggup bersengketa mengeji dan mengaibkan pihak universiti, ada juga sanggup membina konfrantasi dengan penduduk setempat dan ada yang berpandangan sinis pada bumi serba kosong ini.

Namun, selepas segalanya, keputusan dicapai, nasihat diberikan , hubungan antara negara perlu diteruskan dan amarah anak nakal kecil belum bijak berdiplomasi ini dibiarkan saj nanti sejuklah mereka.

Akhirnya kita bagai ditakdirkan jodohnya untuk terus kekal di bumi Mafraq bertuah ini.

Redhakah kita ....?

No comments:

Post a Comment