Tuesday, November 17, 2009

Bicara Khutbah - Renungan Haji



Khutbah Generasi Terawal

Jumaat minggu lalu adalah Khutbah terakhir kami di Masjid SMK Likas, ianya akan terhenti kerana memberi laluan pada cuti sekolah hujung November ini.

Masjid yang berstatuskan bangunan sekolah ini adalah usaha generasi awal dakwah bagi mempastikan tuntutan Fardhu Jumaat dapat dijalankan dikawasan sekitar ini dan mempermudahkan warga dan pelajar sekolah khususnya untuk mudah datang dan melunaskan kewajipan.

Nama seperti Ust. Wan Roslan, Ust rahim, Cikgu Mad Nor antara nama lama yang mengusahakannya hingga berjaya mengangkat taraf masjid ini kepada Jamik yang boleh dikerjakan solat fardhu jumaat. Bermula dengan keputusan persetujuan lisan dari bekas mufti Ismail Abbas hinggalah kepada kebenaran dengan warta bertulis dari Mufti al alawi sekarang ini adalah tanda kegigihan dan kesungguhan warga awal dalam mendesak, merancang dan memohonnya.


Moga jasa mereka yang terawal ini mendapat ganjarannya.

Bicara Khutbah Terakhir

Jadual saya menjadi khatib ialah pada minggu hadapan, tapi kerana inilah jumaat penghabisan dan khatib asal tidak dapat turun kerana uzur, saya yang lebih awal hadir ke masjid hari itu dijemput naik memimpin khutbah.

Leka dengan bacaan quran di penghujung solat sunat, saya tersentak di acah rakan untuk mendaki tangga mimbar. Saya akur dan mula memberi salam tanpa teks ditangan.

Azan kedua mula berkumandang, makmun mula memenuhi dewan utama … mata saya terus melirik memandang teks khutbah yang disediakan ust che hanif lebih awal di meja mimbar.

Terkedu saya membaca tajuknya, ada dua teks terhimpun dipara mimbar, satunya dari JAkIM bertajuk Bahaya Berhutang dan yang keduanya dari JHEINS bertajuk Jangan bunuh Anak, respon kepada kes pembuangan bayi yang berleluasa.

Azan masih berbaki, minda saya ligat berputar… sesuaikah tajuk ini jadi santapan minda dan rohani warga jumaat yang terdiri dari pelajar dan kakitangan awam sebagai penutup khutbah 2009.

Renungan Haji

Dibawah sedar, saya teringat ibadat haji yang sedang hangat diprogramkan sekarang… berpuluh penerbangan sudah berlepas ke tanah suci,mendambakan pengampunan ilahi. Segera saya selak surah al Haj mencari ayat berkaitan tatkala bilal baru seleai menghabiskan tugasannya.

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ (27) لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ (28) ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ (29) ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ حُرُمَاتِ اللَّهِ فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ عِنْدَ رَبِّهِ وَأُحِلَّتْ لَكُمُ الْأَنْعَامُ إِلَّا مَا يُتْلَى عَلَيْكُمْ فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ (30) حُنَفَاءَ لِلَّهِ غَيْرَ مُشْرِكِينَ بِهِ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَكَأَنَّمَا خَرَّ مِنَ السَّمَاءِ فَتَخْطَفُهُ الطَّيْرُ أَوْ تَهْوِي بِهِ الرِّيحُ فِي مَكَانٍ سَحِيقٍ (31) ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ (32)

Bermula dengan ayat ini, amat sesuai untuk menjadi titik tolak perbincangan.

Lalu gagasan ibadah unggul umat islam ini dimulakan dengan seruan allah melalui lidah ibrahim a.s menyeru manusia mengerjakan haji dibumi kontang mekah, bumi yang tiada berpenghuni, gersang dari air dan tumpuan khalayak… dijadikan allah tapak yang paling mulia.

Ditempat inilah allah muliakan ibrahim dan keluarganya dengan mulianya ketaatan dan kesabaran mereka dengan suruhan allah walaupun hikmahnya masih tersembunyi dan tidak bersuluh pada minda.

Siapa antara kita yang sanggup meninggalkan isteri tanpa perlindungan, buangkan anak tanpa bekalan, keraskan jiwa membiarkan mereka berselimutkan malam pekat dan berpermaidanikan pasir hangat. Tanpa air… tanpa makanan … tanpa teman.

Ikhlas dan patuhnya Ibrahim tiada tandingan. Dia tahu rezeki itu ditakdirkan tuhan dan bukannya manusia. Tidak mati manusia tanpa rezeki jika tidak diputuskan tuhan.

Ibrah Rezeki dan Kehidupan

Perhatikan….Bijaknya tuhan menjadikan cicak binatang yang tidak bersayap, ia merayap dan melekat di dinding dan bumbung, berdiam dan menunggu, dan rezekinya tertulis tuhan …. Binatang terbang yang melayang dengan sayap dikibas laju. Hairankan… bagaiamana binatang bersayap menjadi hidangan rezeki binatang melata dan tidak terbang.

Itulah hebatnya tuhan, ia memberikan sesuatu yang ajaib untuk manusia, rezeki tertulis tanpa pernah terjangkau diminda manusia.

Kerana keyakinan ini, Ibrahim tidak pernah gundah menyahut amanah dan arahan Allah, takkanlah tuhan yang boleh menyejukkan api tidak akan melindungi keluarganya nanti. Rahmat untuk hamba yang mentaati.

Inilah antara gagasan Haji yang ingin diterapkan.

Jika mereka yang berlepas ke tanah suci berusaha mencapai mahmudah dan meninggalkan mazmumah, berlatih dengan kesabaran menjauhi larangan, mengigit lidah agar tidak bercakap kotor dan sia2, moga haji akan menjadi mabrur, moga hati akan subur, moga dosa terus melebur dan doa dipanjat makbul.

Merekalah yang bergerak dengan derap keazaman dan keinsafan mengagungkan allah, mengelilingi kaabah dalam takzim penuh keagungan memuji ilahi, dengan ratap hati membasuh dosa, dan jiwa aman mengingini damai hati.

Tetamu Panggilan Allah

Namun apa yang berbaki pada kita, dalam ayat berikutnya allah menyuruh para jemaah menunaikan nazar dan sumpah setia mereka mengagungkan allah dan bertawaf di 4 penjuru kaabah.

Maka kita yang berbaki disini, dengan seru yang belum sampai, dengan panggilan menjadi tetamu allah yang belum terjawab….

Kita seharusnya terus menjaga amanah agama allah, menunaikan sumpah kita menjadi hamba allah yang taat dan setia… berkorban menjunjung perintah dan bersabar menongkah fitnah. Kalau mereka di mekah disuruh tawaf … kita disini diminta memanjangkan kaki menziarahi dan berulang alik kerumah allah. Memuji dan memakmurkannya semaksima mungkin.

Ayat berikutnya menyeru kita dengan etika sopan dan adab, tidak bercakap dusta dan membohongi allah, tegas dalam berjanji, setia dalam mentaati.

Maka alangkah mulianya pujian allah, bagi mereka yang ikhlas dan tidak berniat mencari habuan balasan duniawi, janji allah memberi damai hati …. Takwa dan takut pada kebencian ilahi.

Moga tika umat ini di bumi Mekah dan di sisi Kaabah berjuang mencapai mabrurnya, kita di sini berkorban menggali rahmat ibadat dan hikmatnya.

No comments:

Post a Comment