Friday, November 13, 2009

Menjunjung al Mulk dalam Diskusi AIM

Bila skrin mesej saya diterjah nama Muharram Arif AIM, saya sudah tahu apa isi kandungannya walaupun belum sempat membukanya, firasat orang soleh barangkali….

Hendaknya begitu, tapi siapalah diri ini bila hati sering bersalut dosa, fikir selalu dikunjung amarah, amal tidak seputih ikhlas… mampukah kasih ilahi aku miliki.

Undangan memberikan kuliah maghrib pastinya, detik hati saya… itupun kerana telah beberapa siri saya dijemput sebagai panel tetap bertemu para sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia ini.



Muharram AIM saya kenali semasa saya menjadi tutor OUM di bangunan UMS tahun 2005 dulu. Seorang pelajar yang berkebolehan serta berpengetahuan agama yang agak baik, tika itu saya belum mengenalinya sebagai Pegawai AIM ini, hanya saya kenalinya sebagai Muslim Sabahan yang komited dengan agamanya namun kekadang saya kehilangannya juga dikuliah2 saya.

Jejak Kasih

Lama selepas meninggalkan kuliah itu, jejak kasih membawakan kami bersua semula, namun bukan lagi dikuliah OUM tapi bersama di bangunan AIM Kota Kinabalu di Plaza Kingfisher, saya hadir sebagai pemberi kuliah dan dia hadir sebagai pegawai dan penyelaras kursus, rasa bertaut ukhuwwah fillah antara kami.

Disitu juga baru saya ketahui, dia diuji hebat oleh Allah dalam usia semuda 30an, sudah kehilangan nikmat kedua belah buah pinggangnya yang berfungsi membersihkan darah segar untuk aliran seluruh tubuh manusiawi, dia sabar dan pasrah….

3 hari seminggu Hospital Kg Likas seakan menjadi rumah keduanya untuk di hemodialisis. Sakit dan membebankan dengan panjangnya barisan menunggu terpaksa di tempuhi saban waktu, belum dikira kos yang terpaksa dibayar setiap kali operasi… namun itulah takdir buat menyambung talian hayat kehidupan ini. Moga allah memberinya kekuatan, doa dari kita semua.

Moga ujian untuk manusia lain ini dapat memberi keinsafan kepada kita, menjaga kesihatan dan fizikal juga merupakan tuntutan agama yang paling tinggi, kerana itu haram bagi kita membawanya kepada perkara yang memudaratkan.

Rezeki Halal

Tazkirah maghrib kali ini saya bawakan diskusi al MULK, menjunjung keagungan dan kekuasaan tuhan. Sengaja membawa hati ini untuk sentiasa ingat pada keagungannya dan tunduk sujud mengakui kekerdilan diri.

Tanda agung kebesaran ilahi jika tersemat dihati ini,segala rintangan dan halangan pastinya kerdil dan senang diatasi. Siapapun tak mampu menghalang, jiwa merdeka membawa cinta ilahi ini bebas berkenala walau kemana sahaja ia terbang dan berjalan.

Rezeki milik allah, dia berikan kepada semua makhluknya ……. Tapi ingat mengikut kemahuannya, caranya dan masa Allah bukan mengikut citarasa kita.

Tiada siapa yang mampu mengarah dan memerintah Allah, dialah tuhan yang maha berkuasa.

Teori Kelayakan

Saya singgung sedikit teori kelayakan yang saya kutip dalam rentetan rehlah ilmu saya bersama buku dan kuliah ilmu, kenapakah kita sentiasa berdoa, tapi tidak dimakbulkan. Kenapa kita sering mengharap tapi dihampakan… bagaimana mendambakan rahmat allah untuk terus berjaya dan kaya.

Lalu kita kecewa dan jemu dengan Allah, lambat ,tidak mendengar dan seolah tidak prihatin kepada hambanya ini, kabulnya lama, masanya panjang dan menghilang kesabaran… lantas kita sendiri cenderung mengambil tindakan sendiri. …PUTUS ASA.

Manusia seperti budak kecil lagaknya. Bagaimana budak sekecil umur 5 tahun mampu mengurus wang RM300 walaupun dia berulangkali meminta dari ayahnya. Mungkinkah seorang ayah yang waras memenuhi permintaanya. Kalau diberi nescaya kerosakan dan kerugian akan ditanggung lebih banyak dari manfaat dan kebaikannya.

Kalau begitu, bagaimana pula dengan seorang manusia yang mempunyai iman serendah kualiti budak 5 tahun, adakah patut diberi sesuatu yang dihajatnya sedangkan dia tidak layak atau ianya lebih membawakan kerosakan kepadanya.

Untuk itu, kalau mahu…. Usahakanlah diri untuk menjadi manusia yang layak. Mohon bersungguh-sungguh, ikhlas dalam permohonan dan kena dalam cara dan aturannya.

Kalau Allah lah yang memiliki rezeki alam ini, maka tugas kita mestilah memohon… kalau kita sememangnya layak untuk kebaikannya , percaya dan yakinlah Allah akan kabulkan permintaan kita.

Tapi persoalannya… Layakkah kita ??

No comments:

Post a Comment