Monday, November 16, 2009

Konvokesyen Pasti Tuaran



Tugasan Subuh

Tenang pagi Sabtu dengan air teh panas tersedia masih dipiringnya, wap asapnya naik memutih ke angkasa memberikan suasana hangat untuk dinikmati di pagi bugar begini.

Selepas ini jadual saya ialah membantu pengurusan Konvokesyen Pasti Pantai Barat Kali ke 19 di Sabah Trade Centre, tugasan bersama unit amal tentera merah untuk membantu keselamatan, rencam, kebersihan dan aturan parking sudah saya congak diminda ini. Hanya menunggu arahan dari pengarah dan timbalannya sahaja untuk bertindak.

Tiba2 susuk handphone saya bergegar, deringan berbunyi dan terdengar suara salam dihujung gagang. Saya jangkakan saudara Saifuddin atau Fakar yang awal menelefon, tetapi rupanya suara Ustaz Anuar yang lebih awal menziarahi gegendang telinga ini.

“Anta tolong rasmikan Konvo pasti Tuaran, ana ke Lahad Datu, makluman sampai lewat” ringkas permintaanya yang berbentuk arahan. Saya tak dapat mengelak walaupun saya cuba juga memberi komitmen pada konvo di pantai barat. “Tak apa, disini.. serahkan pada Fitri dan Cikgu Hamid”sambungnya meletakkan noktah pada sebuah arahan.

Jam 7.20 pagi saya dijalanraya selepas menghantar isteri dengan kursus sekolahnya di Tang Dynasty, entah apalah yang disampaikan, saya berperang dalam diri, tak ada persiapan dan nota ni.

Yang untungnya audiensnya pasti ibubapa yang punya anak kecil dan percayakan pendidikan islam walaupun tawaran lumayan ke pusat asuhan lain lebih menggiurkan dan eksklusif, sama seperti saya anak-anak ini saya yang titipkan pada pendidikan yang mendedahkan solatt dan doa, selawat dan tahmid, zikir dan adab lebih dari sekadar mengajar tulis baca, mahupun tuntutan untuk “speaking” di era PPSMI dulu.

Damai di Bangunan Hijau

Tiba diperkarangan Pasti yang serba hijau itu, saya bersalaman dengan ibubapa yang lebih dahulu hadir. Disambut oleh mudirnya Cikgu saifuddin, suasana mahabbah lekas membekas dan berbunga, bertanya khabar dan bertegur sapa dengan para audiens memudahkan saya mengenali perwatakan mereka, walaupun anak-anak kecil sudah mula berlarian antara kerusi dan meja hadiah.



Tak mengapa, itu tandanya mereka ini aktif dan bersemangat, asset penting untuk menjadi pejuang agama, bukannya yang terperosok di penjuru rumah dengan disodok pelbagai permainan maya ditangan dewasa kini.

Jam 830 majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi, yang membangkitkan rasa syukur pada kehadiran dan tahmidnya pada allah kerana pusat pendidikan islam dan pasti tuaran yang nampak tidak terurus ini akan dipindahkan ke bangunan baru yang telah siap sepenuhnya dan bakal beroperasi Januari 2010.

Bangunan yang dimiliki sendiri dengan derma dan pinjaman bank ini akan membekalkan satu jaminan keselamatan, kecekapan pentadbiran, keselesaan dan infranstruktur yang lebih baik, tahniah untuk pasti tuaran ini yang sekarang ini mempunyai lebih 40 orang pelajar.



Bakat anak kecil

Selesai perasmian dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dihidangkan dengan persembahan graduasi pelajar 6 tahun yang menghabiskan hafazan surah al Qari’ah. Kemudiannya disambung pula oleh rakannya yang lain membaca terjemahannya dalam rumi, jawi dan juga bahasa inggeris dengan lancer dan fasih.

Kagum dan terharu, dengan kedhaifan prasarana, pasti ini melalui pengerusinya menyebut… keseluruhan pelajar 6 tahun ini mampu membaca,menulis dan membaca quran dengan baik standing pelajar 6 tahun di sekolah kebangsaan. Alhamdulillah, tahmid dan pujian untukmu Allah.

Ibrah anak cilik

Usai penyampaian hadiah, tiba giliran pelajar lain pula membuat persembahan Syarahan, tampil seorang anak kecil dengan teks ditangan membaca ayat khutbah dipentas yang tersedia, lancar dan berintonasi fasih, teruja saya dibuatnya, beruntungnya ayah ibu yang memiliki anak kecil ini.

Namun spontan pelajar cilik ini menarik perhatian, dalam syarahan bacanya dia berkata fasih tapi mengharap “ayah ibu, maafkan saya berucap disini, kami anak kecilmu, amat mengharapkan restumu,doakan kami untuk berjaya … jangan panggil dan herdik kami dengan bahasa sial dan jahat, jangan doakan kami dengan kata-kata yang tidak baik.



Jangan doakan kami menjadi anak yang kurang ajar, didiklah kami dengan baik dan akhlak yang sopan…. Cerminkanlah kami dengan akhlakmu wahai ayah dan ibu” jelasnya mendamba harap.

Tersentuh saya dan para hadirin, terus memberikan tepukan gemuruh seusai persembahannya.Moga kami terkesan dan membekas di amalan kami para ibubapa.

Jam 10.15 pagi saya mohon undur diri, ada tugasan untuk saya di Konvokesyen Pantai Barat pula, mungkin sahabat2 sedang menunggu saya.

Saya kembali ke Kota Kinabalu dengan perasaan puas dapat memberi dan menerima sesuatu yang berharga di Tuaran ini.

No comments:

Post a Comment