Sunday, November 29, 2009

Pulang Raya Dan Melapor Diri



Ke Terminal Perkhidmatan Yang Baru di Pulau Mutiara

Tanggal 30hb November, bukan sahaja merupakan hari terakhir dibulan November tahun ini, ia juga merupakan hari terakhir Tasyrik iaitu hari raya keempat yang dibenarkan syarak untuk mengorbankan binatang korban sempena hari raya ini.

Namun ianya juga bermakna hari terakhir saya bergelar tenaga pengajar dibawah naungan Jabatan pelajaran Negeri Sabah kerana esoknya ialah hari lapor diri saya ke sekolah yang baru di Pulau Pinang.

Sebagai makluman, saya akan berkhidmat di SMK ST Xavier, Lebuh Farquhar < bandar Georgetown, Pulau Pinang manakala isteri saya akan berkhidmat di SMK Abdullah Munshi di Jalan P.Ramlee juga ditengah bandar pulau Mutiara itu.

Agenda Pulang Raya

Hari inilah perjalanan pulang raya kami ke tempat kerja yang baru, bukan sahaja untuk melapor diri bahkan untuk mencari sekolah tempat mengajar, rumah tempat tinggal , tempat persekolahan anak-anak dan lain-lain.

Insya allah ............. doakan moga perjalanan kami dipermudahkan Allah dan kehadiran kami mampu diterima dan memberi manfaat untuk orang di Pulau Pinang.

Memo : Terima kasih kepada akh Nasirin yang banyak bertanya khabar dan bersedia membantu saya sekeluarga di sana nanti

Mabruk dan Tahniah Buat Dua Sahabat

Ust Affandi Bin Yusof Bakty

Alhamdulillah....Hari ini mencatatkan antara sejarah yang menggembirakan saya dan rakan sepengajian di University Albayt Jordan apabila rakan yang kami tunggu sekian lama untuk menamatkan zaman bujangnya akhirnya memilih tahun bertuah 2009 ini sebagai noktah terunanya.



Insan dan sahabat saya ini bernama Ust Affandi Yusof Bakty dari Teluk Kandis ini akhirnya bertemu jodoh dengan gadis pilihannya dari PCB.

Berjaya menamatkan pengajian master dalam jurusan Bahasa Arab dan seterusnya berkahwin adalah dua hadiah paling bermakna yang allah anugerahkan untuk sahabat saya ini, moga allah berkati dan himpunkan kasih antara mereka hingga ke syurga nanti.

Majlis perkahwinannya yang berlangsung meriah dikampungnya juga menjadi tempat jejak kasih para alumni albayt ini yang datangnya dari pelbagai profesion dan lokasi bertugas.

Dalam tempoh sejam setengah inilah saya mendapati bahawa rakan2 lama ini rupanya sudah menapak lebih jauh kehadapan berbanding saya dalam kerjaya dan akademik. Rata-rata mereka sudah mengengam ijazah kedua dan ramai juga yang sudah beralih profesion perguruan ke arena yang lebih baik.

Disini saya berjumpa Ust Shamsuddin Ibrahim yang rupanya sudah menjawat jawatan pegawai bahagian pendidikan Islam di Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan. Manakala Ust kasyfullah abd kadir pula meletakkan dirinya dikalangan pensyarah di Universiti Darul Iman terengganu bersama isterinya.

Ust Azlan Mohd Nor dan Ust Zamri Rajab sedang menunggu keputusan untuk viva mereka nanti.

Teruja juga saya dapat bertemu sahabat “talaqqi” saya Ust Nik Abdul Malek dan Pak Sheikh Ust Rusydi Harun yang datang bersama dari lokasi khidmat mereka di Perak.
Datang mereka membawa berita dan pelbagai cerita yang mengundang ceria

Bersama Ust Zamri Halim di JAKIM dan Ust Nik Munir, Ust Kamil Jaafar menjadikan ceria kami berpanjangan.

Akhirnya tahniah ana buat Affandi sekeluarga, moga allah menyayangi antuma, menghimpun dan memberkati keluarga pengantin baru ini.

Ust Samsu Hilmy Abdullah

Tahniah yang keduanya sebenarnya saya ingin tujukan lebih awal pada sahabat seJordan saya iaitu Ust Samsu Hilmy Abdullah.



Beliau sebenarnya masih berkhidmat di SMK Beaufort Sabah dan mengajar pendidikan Islam.

Dan yang teristimewanya, sahabat saya ini telah mencatatkan keputusan cemerlang dalam majlis graduasi OUM 2009 yang lalu dalam degree keduanya Matematik.



Terkejut saya apabila saya berjumpanya dalam majlis graduasi tersebut. Apatah lagi kami jarang bertemu walaupun bersekali di Sabah, namun saya terkejut buat kali kedua apabila hadirnya bukan sebagai tutor seperti saya, dia datang sebagai pelajar yang berjaya menamatkan pengajian bachelornya namun dalam jurusan yang memang berbeza dengan yang pernah diambilnya di jordan dulu iaitu bahasa arab.

Tahniah CHOI !!, itulah nama glamournya pada kami..... sememangnya dia glamour dengan keputusan akademik cemerlangnya dulu, dan kali ini beliau meletakkan tanda aras glamour yang cukup tinggi ..... bahawa pembelajaran itu sepanjang hayat dan tidak akan terhenti walau sudah bergelar guru.

Tahniah.... harap ianya dapat membakar semangat juang saya untuk terus belajar hinggalah ke liang lahad.

Saturday, November 28, 2009

Islah diri di Pondok Baitul Taubah



Travel raya

Perjalanan raya kali ini membawa saya untuk menjadi pilot kepada abah saya HJ Ubaidah Yaakub ke kampung halaman beliau di Gong Serai, Pasir Puteh.

Jarak 40km dari bandar kota bharu menjadikan perjalanan kami tidak mengambil masa yang lama, sekitar 9.45 pagi kami tiba di sana bertepatan dengan masa kaum keluarga kami berkumpul dengan pisau terhunus bersedia untuk acara korban.

Namun saya lebih terpanggil untuk berkongsi cerita tentang pondok Baitul Taubah yang dikendalikan oleh abah saya sebagai pengarah operasinya sejak 2008 dan sudah berjaya memulihkan hampir 200 anak bina.



Terminal Taubat dan Islah

Pondok ini merupakan satu projek Kerajaan Negeri untuk memulihkan para remaja hinggalah kepada orang dewasa yang terlibat dan terbelunggu dengan najis dadah.

Dengan peruntukan dari Kerajaan Negeri berjumlah 50ribu setahun, ianya belum mampu untuk menjana dan menstabilkan perjalanan usaha dakwah dan tarbiah kepada para penagih yang pernah tersesat sebelum ini.

Makluman peribadi dari pengarah operasinya ini menyatakan kos operasi bulanannya sahaja sudah mencecah 10 ribu sebulan dengan kos makanan, perubatan, tarbiyah, pengangkutan, gaji pembina, pengurusan dan sebagainya.

Rawatan Alternatif Islam

Mengamalkan proses rawatan pemulihan berasaakan Islam, pondok Baitul taubah ini telah berjaya memulihkan ramai para penagih yang sebelum ini tegar dan liat dengan najis ini.

Mereka disini tidak dikenali sebagai penagih tetapi akan dipanggil anak bina, dan mereka akan mengikuti setiap program yang dianjurkan pengurusan pondok. Kemasukan mereka adalah secara sukarela samada dari kemahuan sendiri atau ibubapa, mereka akan diprogramkan selama 4 bulan dengan kos bulanan untuk pemakanan mereka ditanggung keluarga sebanyak RM 400 sebulan.



Bahkan ramai antara mereka yang pulih ingin kekal menyambung kursus islah ini sehingga 6 bulan mahupun setahun, ada juga yang sedia berkhidmat sebagai pembina yang menjadi fasilitator dan pemantau program dengan tugas memberi motivasi, mengajar doa dan zikir, mengejutkan anak bina untuk bangun dan mandi di tengah malam dan tugasan rencam yang lain.

Rutin harian mereka ialah solat, zikir dan mandi malam yang saya akan perincikan kemudian nanti.Dengan amalan islam ini dan pengharapan pulih bergantung teguh pada Allah, akhirnya ia menjadi kaedah yang berjaya memulihkan bukan sahaja tabiat bahkan rohani anak bina untuk memulakan hidup baru.

Menagih sumbangan

Sesudah menunaikan solat jumaat di masjid kg. Panggung, saya mengemudi innova ini menuju ke terminal menunggu di dataran pondok ini untuk menyerahkan sebahagian daging korban kami kepada para penghuni pondok.

Esoknya dijangka berguni lagi daging korban dan sedekah jariah orang ramai akan menjengah pondok ini sebagai satu sumbangan untuk mereka dan juga suntikan motivasi serta doa kebersamaan untuk mereka terus gigih berubah dan membina sahsiah masa depan yang lebih terpuji.

Namun, sumbangan untuk memulihkan anak bangsa ini masih terus ditagih dan dicari, moga allah mempermudahkan.

Pautan dan informasi tentang pondok ini boleh didapati di laman web ini .... http://pondokbaitultaubah.blogspot.com

PT 372 JALAN JERAM PASU,
PADANG PAK AMAT,
16800 PASIR PUTEH,
KELANTAN

Tel : 09-748 0086 (pentadbiran) /atau 09-977 6566 (operasi)
email : baitul_taubah@yahoo.com

Friday, November 27, 2009

Memugar rahmat di selubung korban

Ceria hening pagi

Pagi bermula ceria dengan laungan takbir tingkah meningkah antara masjid dan surau berdekatan rumah kami di Kg. Bayam Guchil, Kota Bharu.

Suasana hening subuh menyentap jasad untuk segera bangun dan bergegas ke rumah allah yang terletak lebih 500 meter ke dalam kampung. Berada dalam saf keempat dengan diimamkan oleh imam tua Masjid al Husna, Tuk Imam Yaakub menggamit nostalgia ke zaman remaja saya.

Dengan suara kerasnya yang tidak berubah beliau membacakan surah sajdah dan diikuti surah al insan dipagi jumaat raya ini. Kami membuntutinya dari belakang dengan penuh taat dan khusyuk.

Pagi bening itu, seramai 200 pengunjung setia membanjiri rumah allah dalam pelbagai jalur umur, tidak hanya bersama golongan veteran yang sudah pencen dan setia ke masjid menghabiskan usia tua, masih ramai anak-anak muda yang terdidik mengangkat takbir di subuh ceria ini.



Alhamdulillah... damainya rasa ini, suasana yang saya tercari-cari dibumi bertuah sabah dulunya. Suasana yang sama saya dapati hanya di Masjid Negeri tika mencari malam lailatul qadar dahulu. Namun harapan masih berbunga, moga bumi bertuah ini akan terus dibajai rahmat tuhan hingga ke akhirnya..

Sesudah subuh kami dihidang dengan tazkirah ringkas versi lama yang amat saya rindui, versi Ust Kob yang kaya dengan pengalaman dan peringatan hidupnya. Tazkirahnya ringkas, santai tapi penuh makna meresap bersama contoh hidup pengalaman masyarakat kampung di bawah jagaannya.

Khutbah PERTAMA

Jam 8 pagi, saya pula diamanahkan menggantikan adik saya untuk menjadi imam dan seterusnya berkhutbah di Surau Kecil berhampiran rumah kami dan SRK Sultan Ismail Empat yang memuatkan hampir 60 jamaah. Adik merupakan seorang Hafiz Quran dan masih menuntut di pondok Kandis, Bachok yang biasanya menjadi imam dan khatib disana. Namun, kali ini demam dan selsemanya membataskan pergerakannya.

Dengan niat untuk mempermudahkan dan menyempurnakan amanah, saya terima dan berkhutbah buat kali PERTAMA dibumi tanah tumpah darah saya sendiri.

Berbekalkan teks majlis agama islam negeri kelantan saya gunakan sebagai panduan saya untuk terus melakar khutbah dan peringatan buat semua. Moga kami beroleh kerahmatan dari Allah yang maha kuasa.

Bersalaman dengan jamaah kejiranan yang hadir, meniupkan rasa syukur dan redha atas segala nikmat dan kurniaannya. Allah maha berkuasa memberi nikmat dan rahmatnya.

Ibrah kuasa Allah

Sempat saya sentuh tentang kuasa Allah mampu menjadikan manusia bijak yang bercita tinggi untuk menjadi peguam ternama akhirnya ditakdirkan pengsan dan seterusnya koma dihospital buat seketika. Bangun dari pitamnya menyaksikan dia menjadi manusia yang berubah sepenuhnya, darah yang terhenti sekejap mengalir diotaknya , juga fokus yang keterlaluan menyebabkan SATU saraf diotaknya meletup menjadikannya cukup istimewa, ya istimewa kerana dia bukan lagi siswa universiti yang mengejar wawasan dan cuba menempatkan palbagai maklumat kedalam mindanya, sarafnya yang hilang menjadikannya manusia yang tidak berupaya mengingat, walaupaun dalam masa 5 minit yang berselang. Akhirnya beliau terpaksa menggunakan tape recoder untuk memaklumkan kepada dirinya tentang aktiviti yang telah dilaluinya saban hari seperti makan,minum,mandi dan sebagainya.

Saya hanya mampu mengulang kepada semua, baru SATU saraf yang rosak dengan kuasa Allah, bagaimanakah kalau allah hancurkan saraf – saraf manusia yang engkar kepada allah satu persatu.

Maha suci allah dan maha berkuasa.

Raya pertama

Seterusnya langkah kami memanjang ke Kg Gong Serai yang menempatkan rumah lama datuk saya, Tuan Guru Yaakub Panggung, pengasas kepada pondok dipanggung ini yang juga merupakan anak murid kepada ulamak tersohor nusantara, Tuk Kenali.

Ditepi sebuah surau yang disemadikan nama bapa saudara saya , Tuan Guru Hj Atiqullah kami melaksanakan tuntutan Korban tahun ini dengan menyembelih dua ekor lembu.



Memori silam bersama allayarham terasa segar dalam ingatan dengan kehadiran orang-orang kampung dan penghuni berdekatan untuk sama-sama menyempurnakan lapah dan potong lembu korban tersebut.

Alhamdulillah... Aidil adha menggamit persaudaraan dan silaturrahim, sebagaimana ia menyemai nilai pengorbanan dan rasa kehambaan mencari kasih yang maha kuasa.

Thursday, November 26, 2009

Salam Aidul Adha Buat Sahabat

Salam Aidul adha buat semua….

Ucapan ini datangnya dari seorang sahabat yang sentiasa mendoakan kebaikan buat saudaranya, tak kira dimana sahaja anda berada.

Moga allah menjadikan kita antara para kekasihnya yang berkelana di alam buana ini membawa secangkir ilmu untuk disebarkan kepada ummah, menjadi agen hidayah yang tamakkan balasan rahmat ilahi dengan tekunnya memugar dakwah, menjadi pendamba kasih ilahi dengan hati pasrah mengharap ihsan dan maghfirah rabbani…. Selalu.

Sahabat….

Kedatangan Aidil adha ini bukanlah sekadar kebetulan yang sengaja diadakan tuhan buat ummat bertuah ini, bahkan sebagaimana yang saya selalu tegaskan ianya merupakan satu program tarbiah dan dakwah yang allah takwimkan untuk kita.

Acuan Allah maha hebat, siapakah yang mampu menandingi kehebatan perencanaan allah.

Allah mensyariatkan aidil Adha ini dengan segala macam hikmah dan kelebihannya. Marilah sama2 kita cuba mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita. Apa yang saya coretkan disini adalah merupakan perkara asas yang semua orang tahu, namun ianya ditulis untuk memberi peringatan kepada kita…

tidak semua benda yang kita tahu kita amalkan, dan tidak semua benda yang kita tahu kita laksanakan dengan sebaik mungkin.

Sahabat….

Hadirnya aidli adha ini sebagai program rabbani.

Siapa yang sambil lewa dalam menyertainya dan mendapat ibrahnya maka … kita pasti boleh berfikir apakah pula kesannya kepada kita..

Oleh itu, hayatilah syiar agama ini kerana ia akan membawakan kita kepada kecintaan tulen kepada allah… yakinilah janji tuhan ini :

Demikianlah dan barangsiapa mengagungkan syi’ar-syi’ar Allah maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati .

Antara perkara asas yang kita tahu tapi sentiasa diabaikan ialah :

1. Takbir hari raya .

Ianya merupakan syiar kemenangan dan syair tauhid ummat ini ketika membesar dan mengagungkan allah. Ianya mempunyai kesan kepada hati yang cukup besar jika dihayati dan diucapkan tulus mengharapkan keredhaannya.
Hari ini, takbir dianggap siulan budak2 yang kemaruk raya, mereka yang bersungguh bertakbir akan dianggap golongan tiga suku macam tak pernah raya, semakin lama usia seseorang menjadikannya semakin biasa dan sudah idak teruja dengan takbir lagi.

Takbir… merupakan ucapan mengagungkan allah .. ia juga ucapan baiah ummat ini untuk berdiri teguh bersama panji ilahi, tidak gentar dan tidak takut pada setiap yang mendatang, kerana mana ada lagi kekuasaan yang mampu menandingi Zat maha esa ini.

Takbir datang dalam pakej hokum sunat muakkad yang amat dituntut untuk dilaksanakan oleh kita, ianya boleh dilaungkan keras diseluruh pelusuk bumi atau di gemakan bisu didalam hati bagi merasai kekuasaan ilahi.

Sekiranya di aidil fitri, takbir hanya disyariatkan semalam raya dan sebelum solat raya sahaja, akan tetapi takbir aidil adha ini mengiringi setiap slot program bermula dari malam raya hinggalah kehari ketiga tasyrik. Betapa allah membesarkan program korban ini untuk menyemai sifat ini kedalam sanubari ummat.

2. Mandi sunat, memilih pakaian terbersih dan memakai wangian harum.

Hari raya adalah hari gembira, kerana itu janganlah iringi hari raya ini dengahn takbir sayu dan lagu sendu. Ia hari ceria untuk ummat ini sentiasa optimis dan berfikiran positif setiapa masa.

Memilih kecantikan dan kebersihan memang menjadi tuntutan utama islam. Kerana itulah islam meletakkan taraf ibadat bagi mereka yang menyucikan pakaian bahkan fizikal mereka setiap masa, sedangkan jika difikir logic … pakaian dan haruman adalah adat manusia.

Allah lebih ingin mengajar manusia dalam program korban ini untuk mengormati agama allah, ianya bermula dengan menghormati diri sendiri.

Memilih kebersihan fizikal adalah penting untuk kita membiasakan diri menuju kepada kebersihan hati dan jiwa… Ianya juga mengajar kita menghormati awam dan tidak menyakiti mereka dengan sesuatu yang tidak enak dan menyenangkan mereka. Bukankah prinsip islam itu ialah tidak menyakiti….

Lalu saya tinggalkan persoalan ini kepada mereka yang masih mahu memilih keselekehan, kekotoran, kebusukan dalam hidup mereka.

Sebagai permulaannya … cuba tanyakan diri kita, sanggupkah kita menyakiti saudara kita dengan bau badan dan ketiak kita, dan juga sanggupkah kita melihat mereka terseksa hidung dan paru-paru dengan bau mulut dan asap kita. Fikirkanlah……

3. Melaksanakan korban.

Ianya segmen praktikal dakwah dan perlaksannya. Bukannya sekadar ucapan dari lidah tidak bertulang, tetapi ianya tenaga dan harta yang perlu dilaksanakan dengan kudrat tulang empat kerat.

Biarkan perasaan korban ini melekat didalam hati, mencontohi ikon keluarga soleh kerasulan ibrahim dan ismaail menunujkan teladan… kita perlu berkorban atas nama agama dan kita harus menjadikan diri kita gadaian untuk mencapai kasih sayang allah.

Pengorbanan yang meresap ini harusnya dihayati bukan sekadar melihat lembu kerbau ditumbangkan, atau sesenang mengeluarkan wang bagi mereka yang berada atau duduk sama melapah dan menyiat korban sambil melayan pelbagai cerita.

Tidak…. Pengorbanan ini harus subur dalam diri, menjalar kesluruh urat nadi, merasai detik dan denyut masyarakat islam, yang tertindas dan dizalimi, yang miskin dan tidak berupaya. Jadikan korban kita bermanfaat buat semua dan biarkan ianya memberi lebih manfaat kepada kita dan masyarakat.

4. solat hari raya dan mendengar khutbah.

Ramai yang menjadikan solat hari raya sebagai sesuatu yang fardhu dan lazim dilakukan sedangkan solat fardhu yang menjadi tuntutan hilang berterbangan entah kemana. Ramai yang masih suka menunjuk muka dihari raya sedangkan di masa jumaat dan rutin berjemaah tidak kelihatan.

Sedih saya bila terkenangkan kisah silam ketika dipanggil membaca tahlil dan doa selamat disebuah rumah pelajar saya, memenuhi jemputan adalah wajib apatah lagi bila ianya permohonan untuk tidak dihampakan , apatah lagi dengan tubuh yang agak tidak segar ekoran keletihan menjadikan saya lebih perasa hari itu, bila ditanya kiblat lintang pukang mereka tergamam hingga terpaksa menanya jiran sebelah menyebelah.

Lalu diwaktu solat pula, ramai tetamu yang mengambil sikap ada kerja nak dibuat, buat-buat ambil barang dan sengaja melarikan diri dari tuntutan kewajipan allah ini. Bagi mereka buat doa selamat ….. akan menyelamatkan mereka dari tohmahan mulut manusia dan juga murka allah barangkali……..

Seterusnya …dengarlah kuihtbah dengan jiwa yang tenang dan ingin mengambil pengajaran, memang Islam ini agama allah sejak azli lagi, Ianya berbentuk peringatan dan akan datang secara berulang-ulang.

Justeru para pendakwah harus bijak mengemudi kata2 dan membawa penedekatan agar ianya tidak membawa KEJEMUAN kepada pendengar.

Apapun hidayah milik allah, allah akan serapkan kesanubari yang ia pilih bersih dari kemurkaannya.

Selamat Hari Raya Aidil Adha

dari sahabatmu Ustaz Hafizullah sekeluarga.

Tuesday, November 24, 2009

Salam Perjuangan Menempuh SPM untuk semua Srikandi SMP

Hari ini merupakan hari ke 5 peperiksaan SPM dilangsungkan meriah, dengan gelagat dan ragam manusia pelbagai, terus mewarnai kalender November ini kepada pelajar tingkatan 5 saban tahun.

Dan tidak ketinggalan sekolah saya SMP.

Ralat….. itulah rasa hati ini bila terpanggil menulis entry ini, sudah berlangsung beberapa detik waktu, namun ucapan keramat dan salam perjuangan baru saya mampu utarakan disini… terasa hambatan masa dan kegawatan waktu terus melingkari kehidupan ini..

Masih tekejut dan teruja dengan berita perpindahan, bersambung dengan pelbagai amanah yang harus dilangsaikan segera.. Ucapan ini hadirnya lewat, walau saya tahu ramai anak2 srikandi yang sudah menjangkanya, dan memaafkannya, namun saya rasa ia masih perlu dan relevan untuk diucapkan, apatah lagi dari seorang guru pembimbing mereka, khususnya warga BALKIS yang banyak diperah keringat dan masa mereka demi merealisasi rencana agama ini dihayati ummah.

Amanah Bekal Perjuangan

Amanat perjuangan ini sudah saya lama saya bekal dan selitkan, khususnya untuk kita memahami ert kehidupan… Hidup tanpa ujian tiada kemuliaan, makanan tanpa masam manisnya tiada keenakan, dunia tanpa hitam putihnya akan sirnalah keanggunannya.

Tahniah dan teruskanlah wahai anak2 srikandi SMP, teruskan munajat dan doa pagi diselitkan bacaan Yasin diawalnya, mohonlah restu setiap awal pagi untuk membangkit rasa optimis, ceria mahupun pergantungan tawakal kepada yang maha kuasa.

Sekiranya allah menulis kejayaan untuk kita, siapakah lagi yang mampu menahannya.

Realiti Kejayaan

Istiqamahlah dalam meminta dan mengharap, suatu hari allah akan memperkenankannya. Biasanya Allah menulis natijah sesuatu perkara berdasarkan sebabnya. Kejayaan itu datang dari usaha dan ingatlah …. Tuhan akan berikan kejayaan untuk kita setimpal dengan usahanya..

Pepatah inggeris mengatakan “Rom tidak dibina dalam masa sehari”bermakna keunggulan dan kecemerlangan perlu dijana dan dipupuk usahanya sejak dari awal lagi, ianya tidak akan datang menggolek mahupun melayang… tapi ianya memerlukan komitmen usaha, keazaman tekad dan ketulusan harap pada allah yang berkuasa.

Akhirnya , salam perjuangan untuk semua , moga allah berikan kejayaan.. doa dari seorang guru jauh diperantauan…..

1. Syaza Syafeeqah Mohd Kasnan.
2. Khalilah Sapawi
3. Wan Nor Fatini Wan Anor
4. Dg Norlisa
5. Farah Atiqah Ali Rahman
6. Kasmia Marandan
7. Munawwarah Jamaludin
8. Aslinda Asrul
9. Aslinda Ampin
10. Siti Rizna Mohd Yunos
11. Sania Fung Sai Yuk
12. Isna Zakiah Fajrin Mustapha
13. Nor Aziemah ibrahim
14. Siti Hazirah Abd Rait
15. Syahirah Mohd Nazri
16. Norliyana nawawi
17. Ria Restiyani
18. Marlyzatul Farhain
19. Nurazlin Zulpata
20. Citi Manisa
21. NurAfiqah Ahmad
22. NurFariza Azhbi
23. NurHafizah Mustapa

Dan semua pelajar SMP kelas 5 Berlian, 5 Zamrud dan 5 Nilam.

Jejak Kasih Bersama Sang Gajah

Berseminya sebuah kasih

Rindu …. Itulah perkataan keramat yang hadir halus di deria perasaan bila terpaksa meninggalkan makhluk peliharaan kesayangan ini keseorangan nun jauh di desa Alor Setar, Kedah.

Melihatnya satu ketika dulu, bergelumang selut Lumpur di bendang sawah, bermandi lopak air dari terusan warisan negeri Wan Mat Saman dan menunggangnya menjajah tanah jelapang padi ini satu pengalaman yang begitu mengujakan.

Hakikat perpisahan

Perpisahan adalah mainan hidup, ia mungkin satu kekejaman namun ianya perlu untuk melatih kematangan diri, dan lebih menyedihkan jika keputusan untuk berpisah ini terletak di tangan manusia yang tidak mengerti dan memahami.

Maka terpisahlah 2 jiwa yang saling mengerti, dalam gelita masa depan yang tiada berpenghujung, entah bilakan dapat bersua kembali, yang tinggal hanya harapan , pergantungan pada yang maha menentukan, hanya takdir yang mampu menceriakan.

Perancangan takkan boleh mengubah takdir, rencana hanya menjadi berita , harapan hanya tinggal kenangan, keputusan untuk berpindah sesukar menangkap unicorn bertanduk satu, dengan kepantasan menggila dan misteri yang menyelubunginya… setahun hanya sekali, harapan menggunung akhirnya dihancur badai sesaat.

Tapi kali ini, bila khabar gembira berstatus surat confirm erat dalam genggaman, terbayang wajah comel penuh pengharapan dari sang gajah dalam kerinduan, makhluk yang tidak berdosa menghadapi perpisahan, yang tidak mengerti erti tugasan dan perkhidmatan, yang hanya tahu melihat dan memandang , dengan dua mata sayu bergenang air.

Jejak Kasih Bersatu

Tanggal 23 November, kasih lama kembali berjejak, sayang akan kembali bersambung, rindu terus terpatri noktah.

Dalam renyai hujan menyambut ketibaan saya, melilau mata ini mencari kelibatnya, dan tatkala mata ini memandang sang gajah ini, ia masih setia dalam gelap warnanya, tegap dan sasa tubuhnya, mengedipkan matanya, lalu mengibas air yang jatuh dimukanya….

Turun saya dari lantai gergasi airport Alor Setar, terpandang dia sedang akur menunggu kerimasan, Lantas saya segera menyapanya, “DBJ… apa khabar ??, lama menunggu” nama timangan manjanya saya sapa penuh kegirangan, tersentak dia dari lamunan lalu dengan senyum ceria dia memandang dan lantas menyahut dengan bunyi istimewanya….

“Hoooooooonnnn … Hooooon……… Hooooonn” dan saya memahaminya sebagai tanda gembira menyambut kepulangan tuan dan teman lamanya ini.

Itulah DBJ saya, makhluk peliharaan kesayangan saya yang sekian lama ditinggalkan…. Bersusuk bagai gajah hitam di rimba, dengan kekuatan 2.0 cc dijalanraya, dia adalah gajah saya. Pengangkutan saya di bumi semenanjung ini.

Tatapilah Innova 2.0e keluaran 2008 ini , teman saya dalam perjalanan….

Insya allah, kita tidak akan berpisah lagi, Janji…..!!! azam saya dalam hati. Dan janji... gunamu untuk jalan allah. Moga Allah merestui.



Sunday, November 22, 2009

Terima Kasih atas Segalanya

Perpisahan dan Pertemuan – Sana Sini

Alhamdulillah, walau berita kepulangan kami sekeluarga dihebah lewat dari lumrahnya, walau masa begitu cemburu pada detiknya, walau timbunan tugas yang belum diselesaikan masih banyak berbaki resah, walau teman lain juga penuh dengan tuntutan waktu dan perancangan cuti pulang, majlis untuk meluahkan rasa kebersamaan dan penghargaan masih sempat dilaksanakan.

Terasa terharu, teruja dan dihargai.

Begitu lama masa 9 tahun berlalu, membawa pelbagai ragam peristiwa, nostalgia pahit manis, ibrah hitam putih kehidupan, bebanan amanah jalan dakwah, namun terasa singkatnya masa menjalin ukhuwwah bila waktunya sudah tiba… seakan tidak mahu berpisah.

Terima kasih buat semua diatas sambutan, majlis, ziarah dan pertemuan yang diaturkan bagi meraikan seorang musafir tidak bernama ini pulang ke halaman.

Maafkan andai diri dan keluarga ini sememangnya banyak menyusahkan, banyak karenah dan halnya , banyak mengundang benci dan amarah, banyak menyinggung perasaan, banyak bertikam lidah, banyak menganyam fitnah dan banyak keburukan lagi.

Pohon Kemaafan dengan sepuluh jari, setulus hati

Akhirnya…. Maafkanlah kami sekeluarga, tidak kira siapa, mungkin pentadbir tegas berpendirian, teman sejawat disekolah, sahabat dakwah seperjuangan, tentera merah menjaga parking, rakan sepermainan ditaman perumahan, jiran taman yakim jaya seperumahan, warga surau dan flat persekutuan, kenalan dijalanan dan restoran, guru pada anak2 di sekolah, pelajar2 dan ahli balkis yang dahagakan ilmu pengetahuan dan bimbingan, asrama2 teknik dan likas yang berdekatan, ustaz2 lama di pengajian oum nya, anak didik tafsir di kampung e ums, pelajar iqra’dan quran setiap malam dirumah, audiens diskusi politeknik dipusat islam, bebudak BAT di SMKA Inanam, serta warga jumaat dimasjid yang dipijak mimbarnya.

Terima kasih dan salam dakwah perjuangan.


Majlis Perpisahan anjuran Panitia Pendidikan Islam dan kelab guru SMK P Likas






Perpisahan bersama rakan dan pentadbir SMK Likas





Perpisahan dengan anak2 5 Berlian dan Ajk Balkis 2009

Terbangnya Camar Pulang Ke Sarang



izinkan camar pulang ke sarang


Ibrah Al Asr

Terngiang bacaan surah al Asr diminda saya saat ini. Pesanan tuhan buat umat bertuah ini. Demi Masa, semua manusia berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, sambil berpesan kearah kebenaran dengan penuh kesabaran.

Surah yang pernah disentuh Imam Syafei dalam mutiara katanya , kalaulah allah tidak menurunkan alquran kecuali pesanan ini untuk peringatan umat manusia, nescaya sudah mencukupi untuk memotivasikan umat ini.

Inilah motivasi kita untuk terus menjalani kehidupan sebagai seorang peniaga yang berjaya, memanfaatkan setiap ruang dan peluang untuk mencari keuntungan hidup abadi, sentiasa ingin maju dan berani menghadapi risiko dan cabaran ini, hebatnya anologi perumpamaan rabbani mengasak pemikiran kita hari ini.

Dewasa kini, umat leka mencari kesenangan dan keuntungan dunia sambil mengabaikan akhirat, lebih seronok mencongak harta dari menghimpun pahala, bebas bergosip fitnah dari berpesan kebenaran dan lebih senang mencari mereka yang panas membuli di jalanan dari yang sabar mematuhi undang2.

Inilah ciri manusia beriman yang akan sentiasa diselimuti keuntungan dan kekayaan dunia dan akhirat, indahkan….? Bukan kah begitu…

Wal Asr dan Perahan Masa

Namun saya temui pesanan berbeza buat umat dipentas permusafiran, Wal Asr datangnya dari perkataan Asiir (dgn shod) yang bermakna jus atau perahan minuman, lalu dihimpun maknanya Demi perahan masa yang diperuntukkan kepada manusia, semuanya memilih kerugian, kecuali mereka yang mengisi ruang hidup ini dengan iman, amal, dakwah dan akhlak kesabaran yang mulia.

Perahan masa ini bergantung kepada tempoh yang tertentu. Apakah perahan masa remaja kita ? Apa pula hasil perahan masa kita ketika sedang menuntut di menara gading ? apa pula hasil masa kita diusia muda, begitu juga diusia tua, berbaloikah umur kita ?? Persoalan yang bergantung kepada memanfaatkan masa kita.

Teringat juga kata2 Ust Hilmi Ilyas, naqib Usrah sepanggar yang terdahulu melontar persepsi baru, hidup umpama botol….. manusia akan dinilai berdasarkan botol kehidupannya.

Manusia dan Botol kehidupan

Bagaimanakah manusia menyempurnakan hidup ini bermakna ia sedang mengisi sesuatu kedalam botol kehidupannya yang akan dikembalikan ke alam akhirat.

Sekiranya ia baik dan bermanfaat seumpama dia sedang mengisi cairan emas kedalam botolnya, dan pasti tinggi nilaian harganya, siapa pula yang membawa botol berisi wangian Bodyshop juga meraih untung dan laba besar bonus kepada bauannya yang harum, namun mungkin juga ada yang hanya membawa sebotol kicap, atau sebotol
Air mineral biasa atau sebotol air longkang yang berbau busuk.

Tafakur Muhasabah merenung diri

Ketika sang camar mula mahu membuka sayapnya, ingin membelah lautan angkasa, mengharung tiupan badai, untuk terbang kembali ke sarangnya… Saya tertanya dalam diri, apakah hasil perahan masa saya di Sabah ini. ??

Istighfar saya didalam hati… banyak yang kurang dalam amalan, banyak masa yang dibazirkan, banyak dakwah yang dipinggirkan, banyak mad’u yang belum berjumpa jalan pulang, banyak tempat yang belum disinggah dahi sujud, dan seribu lagi kekurangan yang datang ketika minda mencongak nilai masa.

Oh..tuhan, ampunlah hamba kerdilmu ini, ampuni dosa dan kelalaian ku, ampun jua kesilapan dan kesalahan ini, ampunlah segala dosa dan keburukan akhlakku, ya allah, jangan lah engkau hokum aku kerana kebodohan ku, jangan lah engkau benci aku … jangan engkau campakkan aku kenerakamu kerana kekurangan amal dakwahku ini.

Ampunkan aku… andai aku lebih banyak bermain dari menabur bakti, ampunkan aku kalau aku lebih banyak bercerita dari berceramah, ampunkan aku kalau aku lebih lama mengulit anak dari membelai lesu ummah yang rindukan agama, ampunkan aku jika aku lebih banyak solat dirumah dari sujud di merata rumahmu, ampunkan aku jika aku lebih banyak menghimpun harta dari menginfakkan harta dijalanmu, ampunkan aku jika aku lebih banyak terkorban dari berkorban…..

Ya allah, balutlah dukaku ini dengan maghfirahmu, damaikanlah resahku dengan redhamu, basuhlah amalanku dengan rahmatmu, dan kuatkanlah jiwaku dengan inayahmu.

Moga2 kau himpunkan aku ditempat orang2 yang soleh.

Dalam sepi aku masih tertanya-tanya ? apakah warna botolku itu ? apakah isinya ?

Saturday, November 21, 2009

Lambaian Perpisahan UntukMu Sepanggar

Indahnya Hadiah sebuah Ukhuwwah

Bersama dengan sahabat seperjuangan, diraikan dalam suasana cerlang dalam suluhan ukhuwwah yang terang benderang. Hati saya tersentuh….

Di lokasi yang dijadikan surau alterntif di kawasan university apartment, kawan2 mengaturkan pertemuan majlis perpisahan untuk meraikan saya, menghargai nilai ukhuwwah, mengukuh ikatan organisasi dan meredakan resah dan sedih perpisahan ini.

Dalam aturan program yang dimaklumkan lewat tentatifnya, seawalnya saya datang untuk hanya membisikkan salam perjuangan dan terus istiqamah, seterusnya melafazkan lambaian perpisahan untuk semua rakan dan sahabat seperjuangan, namun bagai mahu terus bermadah, kasih mahu terus disambung, sayang jangan dipisah-pisahkan….dan perpisahan kalau boleh, hanya khabar angin yang kosong.

Kehadiran rakan dan teman seperjuangan yang bukan sedikit meruntun sayu hati saya, tepatkah keputusan pindah ini ???? Saya buntu seketika, melihat sahabat dari poli, adik dari ums dan uitm, rakan sejawat dari BDC dan pelbagai lapis pimpinan setempat yang hadir memberikan semangat….. bukan semangat untuk pindah dan berpisah, tapi semangat kebersamaan untuk terus kekal dan menggengam erat dakwah dibumi lambaian kinabalu ini.

Ukhuwwah Kerana Allah

Apatah lagi, selepas jamuan lazat dan berselera yang disajikan…saya diamanahkan membuat pengisian, sejam tempohnya kata sahabat dan juga ketua saya, Ustaz Anuar Ali dengan tajuk Ukhuwwah Fillah, Pra syarat membina gerakan Islam seolah – olah sebagai satu isyarat bahawa kehadiran dan keberadaan saya masih diperlukan dan dihargai namun mungkin juga sebagai satu denda kerana tidak berjaya memenuhi tuntutan syarat pimpinan untuk berada paling minimum 10 tahun mengemudi cabaran dakwah di bumi bertuah ini. Maafkan saya …. Masih berbaki 365 hari, moga allah permudahkan saya untuk datang sekali sekali melunaskan janji yang masih berbaki.

Mengupas isu ukhuwwah bukanlah mudah, ianya isu yang diangkat allah sebagai tema perjuangan islam, moto yang dirakam untuk ummah ini oleh nabi dalam taktikal hijrahnya, mempersaudarakan antara muhajirin dan ansar adalah satu strategi paling ajaib dan ampuh membina kesatuan agama untuk memimpin percaturan kuasa nanti.

Ia isu yang menuntut penghayatan dan keprihatinan bukannya sekadar berbalas salam, isu yang menghendaki rasa kasih dan saying bukan hanya memandang dari jauh dan mendengar cerita simpati, menghendaki rasa beban dan tanggungjawab dibahu atas musibah rakan bukan sekadar melontar pandangan kosong tanpa jiwa, menghendaki manisnya poket kosong dalam membantu menceria dan mendamaikan hati sahabat, bukan hanya sekadar mudah menginfakkan kata2 simpati di atas pahitnya musibah.

Ukhuwwah merealisasikan tuntutan aqidah

Isu inilah yang di pasak asasnya oleh allah untuk pembinaan kekuatan gerakan. Surah al Hujurat ayat 10. Sesungguhnya mukmin itu bersaudara.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (10)

Isu inilah yang direalisasikan nabi melalui sabdanya : tidak sempurna keimanan kita sehinggalah kita mengasihi dan mengambil berat tentang erti persaudaraan dan suka membantu saudara kita sebagaimana kita suka dibantu.

Dan inilah isu yang di rakamkan sejarah mulia para sahabat nabi melebihkan saudara seislamnya walaupun nyawa sudah tergantung dihalkum.

Ukhuwwah memerlukan pengorbanan, dan zulhijjah didatangkan tuhan dengan program membina pengorbanan, allah menyusun cara tersendiri menanam konkrit pengorbanan ini dengan ibadah haji dan korban. Berkorbanlah kepada allah…. Dengan seikhlasnya bukan dengan nilai hartanya, bukan juga dengan jenis binatang dan bentuk fizikalnya.

Allah melihat keikhlasan, allah menilai pengorban dan allah menjeling kearah ketakwaan.

Dedikasi Bilal Sebuah Ibrah

Justeru, saya rakamkan cerita ini untuk semua… kisah sahabat agung Bilal ibn rabah untuk renungan, dihadirkan allah kedunia dengan berwajah hitam, berambut kerinting dan berbibir tebal menjanjikan masa depan yang tiada sinar kecantikan, ketampanan dan kemuliaan.

Namun allah muliakan bilal, bukan dengan rupa parasnya, bukan juga dengan warna gelap kulitnya,jauh sekali dari empayar kekayaannya, tapi bilal dimuliakan allah dengan keputihan hati, kecantikan iman dan pengorbanan dan juga kekayaan jiwa dan ketaatan.

Kerana itulah ditulis dengan tinta emas sejarah ini, bahaawa bilal manusia berjasa. Manusia yang perlu diangkat islam untuk menjadi ikon perpaduan, ikon bagi bagi menolak rasis perkauman, menghindar taksub kenegerian dan bahkan membantah status feudalisme yang mementingkan kebendaan dari kebenaran.

Ikon Dakwah Yang Hidup

Bilal hadir sebagai ikon Islam, dan ikon harus hidup dan segar dalam ingatan ummah, pantasnya bilal hadir kekal kepada kita sebagai muezzin rasulullah untuk umat ini. Lalu nama bilal menjadi gelaran bagi setiap yang melaungkan azan dinegara kita menggantikan istilah agama iaitu muazzin sebagai tanda evergreennya ikon islam ini.

Suatu hari, seorang sahabat yang merupakan artis kota madinah datang menyusun sembah kepada nabi, setelah dipukuk dn digalakkan para sahabatnya untuk memohon tempat menggantikan bilal sebagai muezzin, permohonan ditolak, namun kuatnya kehendak memaksanya berulangkali berjumpa nabi memohon perkara yang sama sehinggalah nabi mengizinkan slot yang terpinggir disuatu hari untuk cubaan pertamanya … slot inihari, subuh.

Tugas dilaksana sempurna, berduyun hadirin datang, rasul mengimamkan solat dan akhirnya memberi salam, dalam ringkas wirid,nabi didatangi malaikat membawa kehairanan, mempersoalkan solat yang ditunaikan, mempertikai kenapa azan hari ini tidak dikumandangkan… lalu nabi menyatakan tugas azan diambil seorng staf baru yang merdu dan indah suaranya, menarik dan meruntun massa turun ke masjid nabi.

Tiba2 malaikat berkata : “Jika azan dilaungkan pada hari ini… kenapa kami penduduk langit tidak mendengarnya….!!!”

Itulah bilal, tempatnya tiada galang gantinya.

Sucinya Kasih Kekasih Agung

Dipenghujung mikraj, nabi dikhabarkan tempat bilal didalam syurga bersama memimpin baginda memasukinya. Alangkah mulianya makhluk allah yang putih imannya ini.

Wafat rasulullah, menyentap jiwa kasih bilal, serasa tiada cahaya untuk terus bertamu dibumi ini, kuburan rasul sentiasa menggamit nostalgia, sedih hati terus bertandang dihati..

Lalu beliau menemui khalifah, abu baker dan umar untuk diizinkan keluar dari madinah, meneruskan misi dakwah menyebarkan agama, dan seterusnya mengurangkan sedikit pamitan nostalgia bersama nabi yang sentiasa bersamanya. Biarlah dirinya jauh dimata namun genggaman memori silam tetap terpahat dihatinya.

Lama dia berkelana hinggalah suatu hari beliau didatangi mimpi bertemu kelasih lama, rasulullah mengunjunginya dalam tidurnya dengan sabda mulia baginda “dimana kamu wahai bilal, mengapa lama kamu membawa diri, kenapa kamu tidak menziarahi aku.. marahkan kamu kepada aku, atau sudah hilangkah sayangmu pada ku” tersedar bilal dari lamunan tidurnya. Membekas kesan mimpi dihatinya, air mata mermebes turun.

Bergegas beliau menuju madinah, tika dinihari beliau sampai didepan kuburan nabi memberi selawat menyatakan kasih dan melepaskan rindu.

Tibanya fajar sadik, kelibat susuk tubuh bilal dikenali, beliau dimuliakan untuk mengazankan subuh dinihari itu….. syahdu lantunan azannya seakan menggamit nostalgia zaman nabi…. Pilu azannya membelah hening subuh membiaskan suaranya keseluruh pelusuk madinah, memasuki rumah2, menjengah pasar, menjenguk setiap benda pejal yang bertapa dimadinah itu..

Tersentak kota madinah dari lamunan tidur…. Bergegar kota madinah dengan lautan manusia menuju masjid.. fikir mereka, ini suara bilal, suara muezzin rasulullah. Sudah lama kita kehilangannya…

Mengapakah suara ini datang semula? Ajaibnya dengan suasana madinah yang kembali segar dengan suasana zaman kenabian, manusia kembali menyantuni masjid .Adakah ini tanda rasulullah bangkit semula .. bisik hati mereka.

Nostalgia Rindu semalam

Lihatlah saudara sekalian, betapa agungnya jiwa manusia bilal yang bukan merdu dengan suaranya, bukan juga mulia dengan paras rupanya.. tapi berkat keimanan dan ketaatan, manusia mulia ini gah diingati sejarah, agung tidak dimamah zaman.

Benarlah kehadirannya kedunia disedari dan dihargai ramai… perginya juga dirasai dan diingati massa.

Akhirnya saya berkata ; jika bilal diizinkan keluar berdakwah oleh dua sahabat agung Abu Bakar dan Umar, maka usahlah ditahan lagi……. Restu dan izinkanlah pemergian saya yang dhaif ini.

Moga ukhuwwah kita berkekalan, jika tiada jejak kasih kita didunia, janji untuk kita orang beriman berjumpa disyurga allah nanti.

Berjanjilah… berbaktilah……berusahalah … insya allah.

Moga gambar kaku ini mampu menjadi nostalgia sejarah ukhuwwah antara kita.










Khutbah Wida' - Warisan Korban Untuk Solidariti Ummah

Khutbah Wida' di bumi Sabah

Mungkin sudah tertulis, jumaat terakhir saya dibumi sabah ini ialah di Masjid Muhajirin Kg. Warisan, malam sebelumnya saya dimaklumkan awal supaya dapat hadir menjadi Khatib di sini,sebagai khidmat terakhir katanya setelah mendapat maklumat perpindahan saya.

Untuk tidak menghampakan, saya penuhi permintaannya walaupun minda masih lagi kusut dengan pelbagai misteri perpindahan dan aktiviti serah tugas yang belum saya selesaikan.

Namun antara yang utamanya, emosi saya bercampur, antara rasa gembira syukur dapat pulang berbakti dan dekat pada ibubapa yang hamper sedekad sudah saya berjauhan, tempoh 5 tahun di Jordan dan 9 tahun di Sabah menjadikan hati saya tidak keruan dan betah untuk terus lama di Sabah ini… namun yang pastinya, rasa sedih perpisahan, takut kehilangan, bersalah terhadap rakan seperjuangan, dan juga resah kerana usaha dakwah kerdil saya di sini tidaklah seberapa, bimbang tidak di terima tuhan.

Dalam keadaan tidak bersedia, saya daki tangga mimbar ini dengan tekad memberi sesuatu, menyampaikan walau sepatah kata dari sabda junjungan dan seterusnya melunaskan janji diri untuk terus menabur manfaat hinggalah ke akhirnya.

Praktikal Haji

Saya bawakan persepsi Haji dan praktikalnya kepada umat dengan menyentuh ayat 26 surah al Haj, namun kali ini saya teruskan dengan ayat mencirikan khusus umat Muhammad ini sebagai umat perjuangan dan pilihan.

Ayat2 berikutnya dalam surah al haj ialah ayat 34-37 mencirikan umat mulia ini dengan sifat dan nilai ibadat perjuangan. Justeru, allah menjustifikasikan ibadat ini dengan satu titik noktah yang cukup penting …. Pengorbanan.

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَلَهُ أَسْلِمُوا وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِينَ (34) الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَالصَّابِرِينَ عَلَى مَا أَصَابَهُمْ وَالْمُقِيمِي الصَّلَاةِ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ (35)
Allah menyatakan sifat umat ini mulia kerana kepatuhan dan ketaatan, lalu allah programkan umat ini dengan ibadat dan asas kemuliaan, haji menuntut kepatuhan, haji membina jati diri, haji menuntun ukhuwwah, haji menyantuni ilmu, haji mengasak nilai ibadah dan haji mengukuhkan jiwa pengorbanan.

Pilihan Keimanan

Kerana itulah allah menggariskan sifat umat mulia beriman ini dengan menyatakan allah telah memberi projek ibadah kepada manusia, dalam manasik Haji dan ibadat korban ini untuk terus dihayati, dan seterusnya mengagungkan tuhan yang satu ….

Sifat hamba yang disayangi ini, jika disebut nama allah .. terdetik rindu dihati, terbenih rasa sayang dijiwa, tersemat azam ingin mulia dengannya daan terpasak takut membenci murkanya, juga untuk mereka yang sentiasa memilih kesabaran dibalik amarah dan musibah, mengerjakan taat solat dan senantiasa mudah mengosongkan kocek kerana infak dijalan Allah.

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (36) لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ (37)

Harga sebuuah pengorbanan

Program Korban bukan sekadar memilih, membayar wang dan menyembelih binatang, tapi hikmah terbesarnya ialah pilihan kita untuk terus taat dan bersama allah sepanjang jalan zaman. Lalu allah memberi latihan kepada kita untuk terus memandang hina kepda dunia, melihat kecilnya nilai harta, dan merasa ajaib dan nikmatnya keagungan tuhan.

Kerana itulah mungkin allah mengutuskan peringatan : Allah tidak sama sekali mahukan daging yang kamu korbankan, allah jugaa tidak inginkan darah-darah korban yang kamu tumpahkan, tetapi allah mahukan asas pengorbanan dan ketaatan ini terpahat dihati… allah mahukan ketakwaan, allah mahukan thabat dalam perjuangan, allah mahukan semoga petunjuk ini terus memberi sinar memandu perjalanan pulang ke alam yang lebih abadi.

Tuntasnya disini, bukan harga dan nilai binatang yang jadi taruhan pahala, bukan juga fizikal binatang korban yang dilihat tuhan ..bukan juga jumlah dan jenis binatang yang dipandang tuhan… tetapi allah akan melihat nilai pengorbanan yang bersemadi dalam hati dan sanubari serta manfaat yang dapat kita lampirkan bersamanya.

Justeru, pengorbanan kita untuk membantu kawasan dan komuniti islam yang merempat dan marhaen dibumi sabah ini, lama tidak pernah merasai manisnya daging dan lauk adalah lebih bermakna daripada kita menyimpan makanan dan memberi kepada kejiranan yang hanya memenuhkan peti ais rumahnya saban tahun dengan 5-10 kg daging korban tanpa langsung mengundang syukur dan rasa hebatnya persaudaraan Islam, bahkan mungkin besar mengundang celaka pemborosan dan pembaziran..

Jelasnya.. allah tidak memandang fizikal kita, allah tidak pernah melihat susuk paras wajah kita tapi allah menilai tahap ketaatan dan pengorbanan kita.

Berkorbanlah …. Dan hargailah setiap nikmat yang diberikan allah , serta selidikilah di sebalik setiap program ibadah aturan allah pada umat mulia ini.

Kiranya inilah khutbah wida’ saya di bumi Sabah.

Thursday, November 19, 2009

Sebak selimuti perpisahan Surau Flat (Siri 2)

Manisnya prihatin



Sepantas berita perpindahan ini tersebar dikalangan rakan sejawat, secepat itu jugalah majlis perpisahan diatur untuk saya sekeluarga di surau keramat ini, malam ini …. Malam pilu dan kehilangan , terasa sayup ditangkai hati tatkala para jamaah bersama melontar pandangan tentang perpindahan ini dalam sebak dan pilu pengharapan.

Malam ini air mata seakan mahu tumpah, namun cepat saya kuasai suasana agar perpisahan akhir ini tidak suram dengan kesedihan, biarkan saua pergi dengan tenang dalam doa sahabat-sahabat.

Seusai bacaan yasin , saya seperti biasa mengambil beberapa minit untuk mengupas bicara Yasin untuk tujuan tazkirah dan renungan, namun dimalam ini saya mengumpul idea dan semangat melontarkan antara noktah terakhir harapan dan wawasan saya sebelum berpindah.

Hidayah milik Allah

Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti… percayalah sahabat2ku.

Surau ini milik allah, dia akan mengangkat atau mungkin mengutuskan seorang yang lebih layak dan baik untuk memimpinnya nanti.

Saya juga terasa begitu, saya hanyalah satu mata rantai perjuangan panjang Rasulullah dalam dakwah islam ini….. perjuangan mendaulatkan islam takkan terhenti disini, saya wujud atau hilang.. allah tetap akan memelihara rumah dan agamanya ini.

Saya tamatkan dengan memberi amanat, mungkin mengambil contoh hidup sirah khalifah Umar menamakan pengganti, saya juga menyenarai pendek tiga nama ini … pilihlah antara mereka, firasat saya mereka layak untuk berbakti.

1. Sahabat senior dan banyak pengalaman di sekolah saya, Ust Mohd Norawi harun.

2. Teman seusrah dan selalu bersama memberi kuliah, Ust khairi Abd Halim

3. Rakan beridealisme tinggi namun sentiasa rendah dengan amalan dan pengorbanan, En Ismail Daim.





Penghujung doa solat isyak saya panjatkan doa, Ya allah, ampunkanlah dosa2 kami, hidupkanlah kami dengan islam dan matikanlah kami dengan iman, ya allah, himpunkanlah kami sebagai hambamu yang beriman didunia ini dan kumpulkanlah kami diakhirat nanti sebagai saudara didalam syurgamu, jadikan kami hambamu yang taat, sabar dan sentiasa bersyukur dengan nikmatmu tuhan….



Majlis berakhir dengan jamuan dan salam.

Doa dan harapan

Jika saya berjaya meletakkan asas disini, biar saya menjadi orang yang meletakkan ukhuwwah dan pengorbanan demi agama disini.

Moga budaya kerjasama, sanggup memberi masa dan idea, berkongsi berita dan makanan terus menjadi lumrah fitrah para pengunjung warga surau ini.

Ya, allah….. muliakanlah rumahmu ini dan peliharalah para tetamu mu.

Dan, untukmu para tetamu allah, kirimkan doa untuk saya di hujung ingatmu.

Salam ukhuwwah Fillah




PENYERAHAN BUKU AKAUN SURAU FLAT, ACARA SIMBOLIK PENYERAHAN TUGAS SAYA SEBAGAI PENGERUSI SURAU 2009

Sendu Perpisahan Di surau Flat

Imbas Sejarah

Setahun yang lalu saya diamanahkan untuk memegang tampuk pengurusan surau Flat ini, jawatan pengerusi surau, jawatan yang tak pernah saya impikan selama ini.

Biarlah saya menjadi akar menyonsong bumi mencari air dan sumber makanannya daripada saya menjadi pucuk mengemudi arah angin dan liuk lintuk gerak aktiviti susuk pokoknya.

Saya juga lebih suka menjadi makmum kecil yang sama-sama berjemaah menikmati setiap sudut rumah allah ini dengan kebebasan ibadah tanpa tekanan dan tanggungjawab, namun tak semuanya sebagaimana yang kita impikan….

Pepatah mengatakan : Setiap nikmat dan jawatan itu akan datang bersama satu tanggungjawab yang cukup berat.

Namun, apa yang boleh saya lakukan …. Menolaknya bukan pilihan jika itulah mungkin kehendak tuhan, apatah lagi tika komuniti surau mendesaknya.

Amanah atau Kesenangan

Teringat saya kata2 Imam ahmad ketika berdepan zaman fitnah, haruskah dia beruzlah menyelamatkan diri atau menanggung risiko tanggungjawab dan kebenaran ; lantas beliau berkata Jika para ulamak berdiam di kala umat dilanda fitnah sedangkan mereka jahil dan memerlukan , bilakah lagi akan munculnya kebenaran ??? lalu beliau menongkah arus berdepan risiko memegang tanggungjawab menyedarkan ummah ini walaupun akhirnya ia terpenjara dan dihukum seksa.

Teringat kali pertama bercerita tentang surau ini , saya menulis :

Lalu tinggallah jawatan panas pengerusi surau ini kekosongan buat beberapa ketika,dan ia seolah2 petanda awal siapa yang mendudukinya, tidak akan kekal lama… Pasti ada hikmah tuhan dan tugasan khusus untuk mereka yang menjawatnya….

Dengan mesyuarat dan permuafakatan semua, akhirnya saya dilantik menjadi pengerusi surau ini di penghujung 2007, memecahkan tradisi asalnya iaitu biasanya pengerusi surau dilantik dikalangan warga flet dan bukannya tetamu luar kawasan seperti saya. Namun dengan amanah dan kepercayaan sahabat2 surau dan jawatankuasa RT yang banyak menyokong, akhirnya saya menerima jawatan ini dengan tanggungjawab berat terpikul dibahu.

Entah saya boleh menjalankan tanggungjawab ini atau tidak…. Namun ianya perlu bantuan dari semua, serta restu tuhan yang maha esa, atau pun saya gagal dan allah akan gantikan saya dengan mereka yang lebih baik.

Mungkin kerusi panas pengerusi surau ini akan menyebabkan saya berjaya dalam permohonan pindah ke semenanjung. Wallahualam , hanya allah yang tahu.


Perpindahan yang pasti

Akhirnya…. Pagi ini, saya mendapat perkhabaran kelulusan berita pertukaran saya, menuju ke pulau Mutiara … Berita gembira perpindahan yang telah saya tunggu sejak empat tahun yang lalu dengan penuh debaran dan pengharapan.

Bersambung ..... sekitar majlis perpisahan Pengerusi Surau Flat dan rakaman gambarnya.

Bacalah Dengan Ceria Anakku



Membaca itu menghiburkan.

Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Sekembalinya dari pustaka Aslam dimalam itu, saya hadiahkan sepasang putera puteri saya dengan bahan bacaan santai dan berunsurkan islam.

Teruja mereka menerimanya dan terus membelek isi kandungannya, Anis terus mengambil pen dan mengabadikan namanya dimuka depan buku barunya itu, mungkin sedikit terpengaruh dan biasa dengan perangai bapanya menulis nama pemilik dan tarikh dimiliki.

Anas tekun membaca buku berjudul Abang,adik dan ayam buah tangan Ezee Rahmani manakala Anis membelek dan mengeja judul bukunya Sayang Cikgu karangan Eisya Sufya berjumlah 155 mukasurat.

Harapan seorang ayah

Lebar senyum saya apabila pulang dari sekolah melihat dua anakanda ini masih tekun berusaha menakluki cerita dan menghabiskannya.

“Apa ceritanya, abang anas. ” Tanya saya mengacah bacaannya. “Bila habis nanti abah nak dengar ceritanya, abang anas ceritakan dekat abah ya !” galak saya untuk mereka terus istiqamah membaca.

Yang keduanya, biar maklumat yang mereka hadam dari buku, dapat mereka olah dalam bahasa mudah untuk menyampaikannya kepada saya, mereka yang hebat bukan mereka yang banyak membaca, tapi mereka yang berjaya mengolah idea dan memanfaatkannya.

Hatiku diusik Ceria

Esoknya, telefon saya berdering “abah, boleh tak anis bawa buku ini ke sekolah? Sekarang sekolah tak belajar… anis nak abiskan buku ni” sapanya diawal pagi itu. Gagang diletak dan terdengar suara ceria apabila keizinan saya sampai ketelinganya.
“Terima kasih abah…”

Berlalu 4 hari, anis dengan bangganya menyatakan “anis dah abis baca buku, abang anas belum lagi” ujarnya seperti menang pertandingan membaca. Bukunya yang sarat dengan lukisan dan grafik memudahkannya untuk diselesaikan awal.

Apa ceritanya anis, boleh abah tau…macam best, bagitau la abah ” desak saya. “emmm, ceritanya best, ada aisyah dan kucingnya nini, dia budak baik tapi nakal sikit ” sambil dia merujuk muka depan yang mempamerkan maklumat dan gambar karekter cerita itu “emm, abah bacalah sendiri ya !” sambungnya lagi menutup dialog. takpalah, ujar hati saya, dengan usia 7 tahun, minat untuk membaca harus terus saya semai.

Anas pula bergelut menamatkan bacaannya sekarang ini, sudah sampai ke mukasurat 199 dari 230 kesemuanya. Sarat dengan maklumat dan teks, penuh dengan cerita… saya menunggu bicaranya nanti.

Moga anak2ku ini akan mencintai ilmu dan memanfaatkannya ..doa saya dalam hati ini.

Wednesday, November 18, 2009

Tentera Merah – Pejuang tanpa nama.




Tentera Merah Mencari Ikhlas

Jauh dari lensa kamera,tempatnya juga bukan berpijak di permaidani merah,atau bukan membuka bicara di podium raksasa, tapi hakikatnya kehadiran berharga yang jarang menjadi sasaran lensa inilah menyaksikan kelibat petugas berbaju merah aktif bergerak kesana-sini membantu kelancaran majlis.

Dari aspek keselamatan, protocol, kebersihan, parking, kawalan disiplin peserta cilik dan susun atur majlis banyak dibantu oleh para petugas ini.

Mereka seakan tidak bernama, hadirnya membawa manfaat, tenaganya ditagih , komitmennya ditunggu hingga ke akhir dan senyumnya menceriakan angkasa Majlis konvokesyen Pasti pagi itu.

Hadiah Ilmu adalah Amal, hadiah amal adalah ikhlas

Tahniah kepada Unit AMAL Sabah yang banyak membantu kelancaran setiap program, kekalkn imej bersih dan tanpa nama ini.

Ianya satu langkah menuju takwa dan keikhlasan, antara yang disebut oleh DR Yusof Qardhawi dalam bukunya Konsep Niat dan Ikhlas Menurut Islam, mari kita menyorot pandangan ilmuwan terkemuka ini apabila beliau menyatakan :

Bukti penguat ikhlas bagi orang yang beriman ialah :

1. takut popularity dan kemasyhuran kerana ia boleh membawa kepada bangga/ujub dan merosakkan pahala amalan.
2. sentiasa menuduh diri sebagai manusia yang hina, jahat dan banyak kekurangan.
3. Beramal secara sembunyi dan jauh dari liputan kemasyhuran.
4. tidak memerlukan pujian dan tidak tenggelam dengan pujian.
5. tidak kedekut untuk memuji mereka yang sememangnya layak diuji.
6. Jika diberi peluang memimpin, maka tugasannya akan disempurnakan sebaik mungkin tanpa mengendahkan kedudukan dan kepentingan dirinya.
7. Mencari keredhaan allah dan bukannya keredhaan khalayak manusia
8. Suka dan marah kerana allah, bukannya berkepentingan.
9. sabar sepanjang jalan dakwah.
10. merasa senang jika ada yang bergabung dan mengkritik.
11. rakus dan tamakkan amaln yang bermanfaat.
12. menjauhi ujub dan suka dipuji orang.
13. sentiasa memperingati diri dan bermuhasabah agar membersihkan diri dan tidak leka dengan kehidupan.

Pepatah Berhikmah

Antara kata bidalan hikmah intelektual islam ini menyatakan .. mereka yang ikhlas lebih suka memilih menjadi perajurit bayangan yang rela berkorban tanpa diketahui gerangannya, lebih suka menjadi bahagian yang memberi kesan pada jamaah tanpa disedari dan tersembunyi , seperti akar menunjang bumi menjadi penyokong dan sumber kekuatannya, tetapi tidak zahir terlihat dek mata, tersembunyi dibalik tanah dan kegelapan misteri.

Moga anggota unit ini terus beristiqamah bukan sahaja dalam beramal, bahkan memotivasikan diri dengan ilmu dan imej Islam serta berusaha untuk menjadi insane yang terbaik dalam memberi dan berkorban bukannya menerima dan menunggu habuan.

Dari kejauhan,lensa kamera ini sempat merakam…










Konvokesyen Pasti pantai Barat kali ke 19


Meriah dan Penuh Warna Warni..

Memang itulah gambaran keindahan warna alam konvokesyen anak-anak Pasti peringkat Pantai Barat kali ke 19 yang berlangsung pada hari Sabtu yang lalu.

Warna yang dicorakkan oleh pendidikan Islam merupakan tanggungjawab ibubapa yang tidak boleh dipertikaikan, bukankah nabi pernah mengutamakan anak ini umpama kain putih yang akan dicorakkan warnanya oleh para ibubapa.

Kanvas putih yang berasaskan fitrah inilah nanti yang akan membentuk generasi pelapis masa depan Negara, jika cuai mewarnakannya maka akan lahirlah generasi yang suram dan pudar warnanya, atau mungkin berserabut contengan warnanya hilang identitinya atau kuning ke baratan kiblatnya.

Sanggupkah kita melihat landskap kanvas dunia masa depan sebegini..?

Putih dan pakaian Takwa

Justeru, pendidikan awal anak-anak ini perlu dititk beratkan, bertuahlah bagi ibubapa yang meletak faham agama seawal usia mereka bagi menanam dan meresapkan budaya agama ini sebagai anutan dan pakaian anak-anak.

Tiada yang terbaik melainkan acuan agama dan pakaian ketakwaan, bukankah itu maksud firman Allah ini, ayat 26 surah al a’raf ini.

قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآَتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آَيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ (26

Sebaik2 pakaian itu ialah takwa. Itulah tanda bukti dari allah moga kamu sentiasa ingat.

Tahniah kepada petugas PASTI dan AJK Pelaksananya, wadah ilmu dan agama dapat diterapkan dalam proses islamisasi ini, bukan mudah membina sebuah dunia islam yang putih dan bersih.

Setiap anak dilahirkan dengan fitrah putih dan sucinya, moga kita kekal bersih fikrah dan amalannya.

Untuk melihat gambaran warna –warni keindahan Majlis ini anda disyorkan melawat laman berikut :

www.abunuhacorner.com
www.albelurani.com
www.islamreturn.com










Tuesday, November 17, 2009

Bicara Khutbah - Renungan Haji



Khutbah Generasi Terawal

Jumaat minggu lalu adalah Khutbah terakhir kami di Masjid SMK Likas, ianya akan terhenti kerana memberi laluan pada cuti sekolah hujung November ini.

Masjid yang berstatuskan bangunan sekolah ini adalah usaha generasi awal dakwah bagi mempastikan tuntutan Fardhu Jumaat dapat dijalankan dikawasan sekitar ini dan mempermudahkan warga dan pelajar sekolah khususnya untuk mudah datang dan melunaskan kewajipan.

Nama seperti Ust. Wan Roslan, Ust rahim, Cikgu Mad Nor antara nama lama yang mengusahakannya hingga berjaya mengangkat taraf masjid ini kepada Jamik yang boleh dikerjakan solat fardhu jumaat. Bermula dengan keputusan persetujuan lisan dari bekas mufti Ismail Abbas hinggalah kepada kebenaran dengan warta bertulis dari Mufti al alawi sekarang ini adalah tanda kegigihan dan kesungguhan warga awal dalam mendesak, merancang dan memohonnya.


Moga jasa mereka yang terawal ini mendapat ganjarannya.

Bicara Khutbah Terakhir

Jadual saya menjadi khatib ialah pada minggu hadapan, tapi kerana inilah jumaat penghabisan dan khatib asal tidak dapat turun kerana uzur, saya yang lebih awal hadir ke masjid hari itu dijemput naik memimpin khutbah.

Leka dengan bacaan quran di penghujung solat sunat, saya tersentak di acah rakan untuk mendaki tangga mimbar. Saya akur dan mula memberi salam tanpa teks ditangan.

Azan kedua mula berkumandang, makmun mula memenuhi dewan utama … mata saya terus melirik memandang teks khutbah yang disediakan ust che hanif lebih awal di meja mimbar.

Terkedu saya membaca tajuknya, ada dua teks terhimpun dipara mimbar, satunya dari JAkIM bertajuk Bahaya Berhutang dan yang keduanya dari JHEINS bertajuk Jangan bunuh Anak, respon kepada kes pembuangan bayi yang berleluasa.

Azan masih berbaki, minda saya ligat berputar… sesuaikah tajuk ini jadi santapan minda dan rohani warga jumaat yang terdiri dari pelajar dan kakitangan awam sebagai penutup khutbah 2009.

Renungan Haji

Dibawah sedar, saya teringat ibadat haji yang sedang hangat diprogramkan sekarang… berpuluh penerbangan sudah berlepas ke tanah suci,mendambakan pengampunan ilahi. Segera saya selak surah al Haj mencari ayat berkaitan tatkala bilal baru seleai menghabiskan tugasannya.

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ (27) لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ (28) ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ (29) ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ حُرُمَاتِ اللَّهِ فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ عِنْدَ رَبِّهِ وَأُحِلَّتْ لَكُمُ الْأَنْعَامُ إِلَّا مَا يُتْلَى عَلَيْكُمْ فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ (30) حُنَفَاءَ لِلَّهِ غَيْرَ مُشْرِكِينَ بِهِ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَكَأَنَّمَا خَرَّ مِنَ السَّمَاءِ فَتَخْطَفُهُ الطَّيْرُ أَوْ تَهْوِي بِهِ الرِّيحُ فِي مَكَانٍ سَحِيقٍ (31) ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ (32)

Bermula dengan ayat ini, amat sesuai untuk menjadi titik tolak perbincangan.

Lalu gagasan ibadah unggul umat islam ini dimulakan dengan seruan allah melalui lidah ibrahim a.s menyeru manusia mengerjakan haji dibumi kontang mekah, bumi yang tiada berpenghuni, gersang dari air dan tumpuan khalayak… dijadikan allah tapak yang paling mulia.

Ditempat inilah allah muliakan ibrahim dan keluarganya dengan mulianya ketaatan dan kesabaran mereka dengan suruhan allah walaupun hikmahnya masih tersembunyi dan tidak bersuluh pada minda.

Siapa antara kita yang sanggup meninggalkan isteri tanpa perlindungan, buangkan anak tanpa bekalan, keraskan jiwa membiarkan mereka berselimutkan malam pekat dan berpermaidanikan pasir hangat. Tanpa air… tanpa makanan … tanpa teman.

Ikhlas dan patuhnya Ibrahim tiada tandingan. Dia tahu rezeki itu ditakdirkan tuhan dan bukannya manusia. Tidak mati manusia tanpa rezeki jika tidak diputuskan tuhan.

Ibrah Rezeki dan Kehidupan

Perhatikan….Bijaknya tuhan menjadikan cicak binatang yang tidak bersayap, ia merayap dan melekat di dinding dan bumbung, berdiam dan menunggu, dan rezekinya tertulis tuhan …. Binatang terbang yang melayang dengan sayap dikibas laju. Hairankan… bagaiamana binatang bersayap menjadi hidangan rezeki binatang melata dan tidak terbang.

Itulah hebatnya tuhan, ia memberikan sesuatu yang ajaib untuk manusia, rezeki tertulis tanpa pernah terjangkau diminda manusia.

Kerana keyakinan ini, Ibrahim tidak pernah gundah menyahut amanah dan arahan Allah, takkanlah tuhan yang boleh menyejukkan api tidak akan melindungi keluarganya nanti. Rahmat untuk hamba yang mentaati.

Inilah antara gagasan Haji yang ingin diterapkan.

Jika mereka yang berlepas ke tanah suci berusaha mencapai mahmudah dan meninggalkan mazmumah, berlatih dengan kesabaran menjauhi larangan, mengigit lidah agar tidak bercakap kotor dan sia2, moga haji akan menjadi mabrur, moga hati akan subur, moga dosa terus melebur dan doa dipanjat makbul.

Merekalah yang bergerak dengan derap keazaman dan keinsafan mengagungkan allah, mengelilingi kaabah dalam takzim penuh keagungan memuji ilahi, dengan ratap hati membasuh dosa, dan jiwa aman mengingini damai hati.

Tetamu Panggilan Allah

Namun apa yang berbaki pada kita, dalam ayat berikutnya allah menyuruh para jemaah menunaikan nazar dan sumpah setia mereka mengagungkan allah dan bertawaf di 4 penjuru kaabah.

Maka kita yang berbaki disini, dengan seru yang belum sampai, dengan panggilan menjadi tetamu allah yang belum terjawab….

Kita seharusnya terus menjaga amanah agama allah, menunaikan sumpah kita menjadi hamba allah yang taat dan setia… berkorban menjunjung perintah dan bersabar menongkah fitnah. Kalau mereka di mekah disuruh tawaf … kita disini diminta memanjangkan kaki menziarahi dan berulang alik kerumah allah. Memuji dan memakmurkannya semaksima mungkin.

Ayat berikutnya menyeru kita dengan etika sopan dan adab, tidak bercakap dusta dan membohongi allah, tegas dalam berjanji, setia dalam mentaati.

Maka alangkah mulianya pujian allah, bagi mereka yang ikhlas dan tidak berniat mencari habuan balasan duniawi, janji allah memberi damai hati …. Takwa dan takut pada kebencian ilahi.

Moga tika umat ini di bumi Mekah dan di sisi Kaabah berjuang mencapai mabrurnya, kita di sini berkorban menggali rahmat ibadat dan hikmatnya.

Renungan Poligami Dalam Dunia Baru Islam (Siri 2)

Manusia dibentuk bukan dicetak

Membina manusia bukannya semudah bermain dengan angka dan statistic, ianya memerlukan perjuangan membentuk kesedaran yang amat panjang.

Berdasarkan teori 5 keluarga yang produktif menghasilkan anak dan dengan pertolongan teori poligami, selepas 120 tahun (5 generasi) populasi keluarga muslim yang berjatidiri akan lebih menguasai kepimpinan dan persepsi berdasarkan 35 keluarga yang sekular yang membina zuriat 2-3 orang sahaja.

Satu teori atau gagasan ilmu yang amat menarik berpuca dari kesedaran dan keinsafan membina dunia islam yang lebih selamat, berintegriti dan dirahmati tuhan… namun praktikalnya amat berbeza.

Ianya bukan sekadar perkiraan matematik, ianya perbincangan mencakupi teori tamadun dan umat. Manusia lebih terdorong melakukan kesalah, adakah kita seyakinnya pasti generasi muslim yang soleh ini akan terus mengekal dengan jumlah besar dan memberi kesan itu. Ataupun ianya hanya kata nabi…buih2 dilautan yang tudak melampirkan kegerunan kepada musuh.

Bagaimana pula populasi secular yang pastinya tidak diam dalam kerangka perkahwinan halal mereka, bagaimana pula dengan kelahiran tidak formal yang berpunca dari keruntuhan akhlak dan kebejatan social, kajian menyatakan sekarang ini cukup parah.. bagaimanakah pula 120 tahun lagi.

Kelemahan poligami

Poligami dan dakwah – dua perkara yang boleh menjadi teman dan kadang2 boleh menjadi musuh, saya meminjam perkataan kelemahan ini pada mukasurat 93 dari buku POLIGAMI – KESENANGAN ATAU KESENGSARAAN yang ditulis oleh Dr Karim Hilmi Farhat Ahmad menyimpulkan poligami satu hokum menyelamatkan wanita, membantu kemanusiaan, mengangkat keadilan sosial dan memuliakan maruah dan akhlak.

Namun, aplikasinya dalam masyarakat banyak yang tersasar, terdapat 3 kelemahan yang disenaraikan disini antaranya ialah yang pertama ; wujudnya banyak perbezaan pandangan akibat cemburu dan irihati , keduanya : keretakan rumahtangga akibat suami terlebih menyayangi salah satu dari keduanya ketiga; pengabaian hak anak-anak dan persengketaan antara mereka, yang keempat saya tambah disini : keupayaan seorang suami mencari lebihan wang untuk menanggung nafkah keluarga yang kian membesar dan bertambah.

Realiti perjuangan

Insafnya, bagaimana kita ingin membina dunia baru Islam apabila nanti para pejuang islam dulunya gigih berdakwah, kini terpaksa gigih mencari nafkah baru menampung belanja yang kian menjerut poket sendiri.

Bagaimana dakwahkan terbukti apabila hanya sengketa timbul dari amalan poligami ini, para pejuang lebih banyak terpaksa berjuang di empat penjuru rumah mendamaikan dua pihak yang bersengketa, cemburu dan tidak puas hati.

Dakwah akan jadi tanpa berperancangan, apabila medan mesyuarat semakin ditinggalkan dengan beban teralih merancang dan mengurus rumahtangga serta berlaku adil merencanakan giliran bermalam, menentukan nafkah dan sebagainya.

Dakwah juga akan terencat apabila ikon dakwah dan perjuangan ini akan berdepan risiko awal kerosakan rumahtangganya sendiri ekoran protes anak2, rasa hilang kasih saying dan pemberontakan dikalangan mereka yang terasa sudah tidak lagi diberi perhatian atau terasa iri melihat saudara tiri lebih dimanjakan.

Betapa banyak reality ini berlaku kepada sahabat2 kita, bersediakah kita juga berdepan dengannya.

Akhirnya artikel ini bukan bertujuan memperlekehkan poligami satu hokum tuhan yang bpatut kita daulatkan, namun bagi saya jalannya harus diperketatkan…. Bukan sewenangnya hokum ini dipakai atas nama agam dan ianya mengembalikan paku buah keras kepada islam dan dakwah itu sendiri.

Untuk dakwah, saya lebih bersetuju cadangan senator YB Ubaidah untuk ianya dipraktikkan bagi membantu golongan armalah dan ibu tinggal yang sudah berumur. Bersediakah kita …?

Atau ianya digalakkan kepada para pimpinan yang berwibawa dan terbukti layak dalam perjuangan serta mengambil sahabiat yang masih belum berumah tangga walaupun sudah berusia lanjut, peribadinya dapat diselamatkan serta infak kewangannya juga mampu mengutuhkan jamaah.

Meramaikan umat Nabi

Saya menutup bicara ini dengan membawakan satu hadis nabi :

Aku berbangga dengan umatku yang ramai dihari akhirat nanti. Adakah ini satu pesanan untuk meramaikan anak dan membanyakkan isteri, lalu kita patut mengambil poligami sebagi jalannya.??

Namun saya terpanggil untuk bersetuju dengan saudara Saifulislam Ustaz Hasrizal jamil dalam bukunya AKU TERIMA NIKAHNYA pada mukasurat 89 menyatakan bukan sunnah meramaikan anak, tapi mempastikan anak akhir zaman ini berada pada paksi kebenaran dan bersama perjuangan rasul itulah yang diutamakan.

Untuk itu, sahutlah seruan jihad ini para sahabatku, DUNIA BARU ISLAM akan muncul jua, dengan tekun semangat dan ikhlasnya niat perjuangan, walaupun panjangnya masa dan hebatnya cabaran, ALLAH pasti akan memenangkan Islam.

Insya allah, Pasti....!!

Monday, November 16, 2009

Konvokesyen Pasti Tuaran



Tugasan Subuh

Tenang pagi Sabtu dengan air teh panas tersedia masih dipiringnya, wap asapnya naik memutih ke angkasa memberikan suasana hangat untuk dinikmati di pagi bugar begini.

Selepas ini jadual saya ialah membantu pengurusan Konvokesyen Pasti Pantai Barat Kali ke 19 di Sabah Trade Centre, tugasan bersama unit amal tentera merah untuk membantu keselamatan, rencam, kebersihan dan aturan parking sudah saya congak diminda ini. Hanya menunggu arahan dari pengarah dan timbalannya sahaja untuk bertindak.

Tiba2 susuk handphone saya bergegar, deringan berbunyi dan terdengar suara salam dihujung gagang. Saya jangkakan saudara Saifuddin atau Fakar yang awal menelefon, tetapi rupanya suara Ustaz Anuar yang lebih awal menziarahi gegendang telinga ini.

“Anta tolong rasmikan Konvo pasti Tuaran, ana ke Lahad Datu, makluman sampai lewat” ringkas permintaanya yang berbentuk arahan. Saya tak dapat mengelak walaupun saya cuba juga memberi komitmen pada konvo di pantai barat. “Tak apa, disini.. serahkan pada Fitri dan Cikgu Hamid”sambungnya meletakkan noktah pada sebuah arahan.

Jam 7.20 pagi saya dijalanraya selepas menghantar isteri dengan kursus sekolahnya di Tang Dynasty, entah apalah yang disampaikan, saya berperang dalam diri, tak ada persiapan dan nota ni.

Yang untungnya audiensnya pasti ibubapa yang punya anak kecil dan percayakan pendidikan islam walaupun tawaran lumayan ke pusat asuhan lain lebih menggiurkan dan eksklusif, sama seperti saya anak-anak ini saya yang titipkan pada pendidikan yang mendedahkan solatt dan doa, selawat dan tahmid, zikir dan adab lebih dari sekadar mengajar tulis baca, mahupun tuntutan untuk “speaking” di era PPSMI dulu.

Damai di Bangunan Hijau

Tiba diperkarangan Pasti yang serba hijau itu, saya bersalaman dengan ibubapa yang lebih dahulu hadir. Disambut oleh mudirnya Cikgu saifuddin, suasana mahabbah lekas membekas dan berbunga, bertanya khabar dan bertegur sapa dengan para audiens memudahkan saya mengenali perwatakan mereka, walaupun anak-anak kecil sudah mula berlarian antara kerusi dan meja hadiah.



Tak mengapa, itu tandanya mereka ini aktif dan bersemangat, asset penting untuk menjadi pejuang agama, bukannya yang terperosok di penjuru rumah dengan disodok pelbagai permainan maya ditangan dewasa kini.

Jam 830 majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi, yang membangkitkan rasa syukur pada kehadiran dan tahmidnya pada allah kerana pusat pendidikan islam dan pasti tuaran yang nampak tidak terurus ini akan dipindahkan ke bangunan baru yang telah siap sepenuhnya dan bakal beroperasi Januari 2010.

Bangunan yang dimiliki sendiri dengan derma dan pinjaman bank ini akan membekalkan satu jaminan keselamatan, kecekapan pentadbiran, keselesaan dan infranstruktur yang lebih baik, tahniah untuk pasti tuaran ini yang sekarang ini mempunyai lebih 40 orang pelajar.



Bakat anak kecil

Selesai perasmian dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dihidangkan dengan persembahan graduasi pelajar 6 tahun yang menghabiskan hafazan surah al Qari’ah. Kemudiannya disambung pula oleh rakannya yang lain membaca terjemahannya dalam rumi, jawi dan juga bahasa inggeris dengan lancer dan fasih.

Kagum dan terharu, dengan kedhaifan prasarana, pasti ini melalui pengerusinya menyebut… keseluruhan pelajar 6 tahun ini mampu membaca,menulis dan membaca quran dengan baik standing pelajar 6 tahun di sekolah kebangsaan. Alhamdulillah, tahmid dan pujian untukmu Allah.

Ibrah anak cilik

Usai penyampaian hadiah, tiba giliran pelajar lain pula membuat persembahan Syarahan, tampil seorang anak kecil dengan teks ditangan membaca ayat khutbah dipentas yang tersedia, lancar dan berintonasi fasih, teruja saya dibuatnya, beruntungnya ayah ibu yang memiliki anak kecil ini.

Namun spontan pelajar cilik ini menarik perhatian, dalam syarahan bacanya dia berkata fasih tapi mengharap “ayah ibu, maafkan saya berucap disini, kami anak kecilmu, amat mengharapkan restumu,doakan kami untuk berjaya … jangan panggil dan herdik kami dengan bahasa sial dan jahat, jangan doakan kami dengan kata-kata yang tidak baik.



Jangan doakan kami menjadi anak yang kurang ajar, didiklah kami dengan baik dan akhlak yang sopan…. Cerminkanlah kami dengan akhlakmu wahai ayah dan ibu” jelasnya mendamba harap.

Tersentuh saya dan para hadirin, terus memberikan tepukan gemuruh seusai persembahannya.Moga kami terkesan dan membekas di amalan kami para ibubapa.

Jam 10.15 pagi saya mohon undur diri, ada tugasan untuk saya di Konvokesyen Pantai Barat pula, mungkin sahabat2 sedang menunggu saya.

Saya kembali ke Kota Kinabalu dengan perasaan puas dapat memberi dan menerima sesuatu yang berharga di Tuaran ini.